SKUAD hoki negara ketika meraih emas di Sukan Sea Kuala Lumpur 2017. FOTO NSTP
SKUAD hoki negara ketika meraih emas di Sukan Sea Kuala Lumpur 2017. FOTO NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) mahu menyapu bersih kesemua empat pingat emas acara hoki yang ditawarkan pada Sukan Sea 2023 di Kemboja.

Timbalan Presidennya, Datuk Dr S Shamala berkata pihaknya menyambut baik keputusan tuan rumah untuk menyenaraikan semula acara hoki padang selepas kali terakhir tersenarai pada edisi 2017 di sini serta acara hoki dalam dewan yang bakal membuat kemunculan semula selepas edisi 2019 di Manila.

"Majlis Sukan Negara (MSN) beri sokongan kepada kami untuk menyapu bersih empat emas malah ia memang misi yang wajib dilaksanakan di Sukan Sea 2023," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Kerja MSN, di sini, hari ini.

Malaysia adalah juara bertahan bagi kesemua acara dipertandingkan di temasya dwitahunan di Kemboja, pada Mei tahun depan.

Dalam pada itu, Shamala menjangkakan tarikh penganjuran Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh, akan dimaklumkan minggu depan.

"Masih dalam perbincangan, selepas dapat maklum balas Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) mengenai pengesahan pasukan bertanding, kami akan sembah tarikh baharu untuk mendapat perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah," katanya sambil memaklumkan Jepun dan Pakistan antara enam pasukan bertanding bagi edisi kali ini.

Sementara itu, beliau berkata MHC masih menunggu maklum balas daripada Kementerian Kewangan mengenai permohonan mendapatkan imbuhan buat skuad The Speedy Tigers bagi membuat persiapan ke Piala Dunia 2023 di India, dari 13 hingga 29 Januari.

Pada 6 Julai lalu, Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal berkata dana diperlukan antaranya untuk mengambil jurulatih fizikal yang berkepakaran tinggi sebagai langkah meningkatkan lagi prestasi skuad bimbingan A Arul Selvaraj itu sebelum beraksi di kejohanan berprestij tersebut.

Skuad Speedy Tigers berjaya mengesahkan tiket ke Piala Dunia 2023 selepas muncul naib juara di Piala Asia yang berlangsung di Jakarta, Mei lalu

Ia kali kesembilan Malaysia layak ke Piala Dunia, dengan pencapaian terbaik ketika menamatkan saingan di tempat keempat pada 1975.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Julai 2022 @ 7:14 PM