KUNJUNGAN hormat bertujuan mendapatkan perkenan Sultan Nazrin (dua dari kiri) bagi penganjuran Piala Sultan Azlan Shah 2022, menurut kenyataan dikeluarkan MHC. FOTO Ihsan Konfederasi Hoki Malaysia
KUNJUNGAN hormat bertujuan mendapatkan perkenan Sultan Nazrin (dua dari kiri) bagi penganjuran Piala Sultan Azlan Shah 2022, menurut kenyataan dikeluarkan MHC. FOTO Ihsan Konfederasi Hoki Malaysia
BERNAMA

Kuala Lumpur: Selepas hampir tiga tahun 'menyepi', saingan Piala Sultan Azlan Shah akan kembali memeriahkan arena sukan hoki tanah air pada 15 hingga 25 November ini.

Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) dalam satu kenyataan memaklumkan tarikh penganjuran itu mendapat perkenan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah ketika wakil mereka melakukan kunjungan hormat ke atas baginda di Istana Hinggap Perak, di sini, hari ini.

Kunjungan hormat ke atas baginda diketuai Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal, timbalannya Datuk Dr S Shamala serta Presiden Persatuan Hoki Perak (PHA) Mohd Sayuti Abd Samat.

Kunjungan hormat bertujuan mendapatkan perkenan Sultan Nazrin bagi penganjuran Piala Sultan Azlan Shah 2022, menurut kenyataan dikeluarkan MHC.

Selain penganjuran Piala Sultan Azlan Shah 2022, Subahan dalam kunjungan berkenaan turut memaklumkan perkembangan dan perancangan dibuat MHC kepada baginda sepanjang tahun ini.

Kali terakhir Piala Sultan Azlan Shah berlangsung adalah pada 2019 manakala edisi 2020 ditangguh ke 2021, namun akhirnya dibatalkan susulan pandemik Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 January 2022 @ 9:05 PM