AKSI pemain negara (baju kuning) ketika tewas 0-4 di tangan India, semalam. FOTO ihsan FIH
AKSI pemain negara (baju kuning) ketika tewas 0-4 di tangan India, semalam. FOTO ihsan FIH
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Meskipun tewas 0-4 kepada India, sekali gus gagal mara ke suku akhir Kejohanan Hoki FIH Piala Dunia Remaja Wanita, semalam, skuad negara dilihat mempamer aksi layak mendapat pujian.

Ini kerana, skuad bimbingan Nasihin Nubli Ibrahim tidak dibolosi dengan jumlah jaringan besar ketika bertemu lawan yang sememangnya berada pada kelas tersendiri dan sudah mengesahkan status selaku juara Kumpulan D sebelum pertemuan dengan skuad negara.

Nasihin akur dengan kekalahan itu dan mendapati barisan pemainnya mempamerkan peningkatan prestasi pada setiap perlawanan diharungi sepanjang di Potchefstroom, Afrika Selatan.

Skuad negara dibelasah 0-10 oleh Jerman pada perlawanan pertama sebelum seri 3-3 menentang Wales dan menutup aksi peringkat kumpulan bertemu India dengan kekalahan.

"Saya gembira kerana pemain menunjukkan peningkatan dalam satu perlawanan demi satu perlawanan. Pemain berusaha keras dan memberikan aksi terbaik mereka, tetapi India adalah pasukan sangat bagus.

"Kami mempelajari sesuatu daripada perlawanan ini dan akan memperbaikinya pada perlawanan seterusnya," katanya.

India terpaksa menunggu sehingga minit ke-10 sebelum membuka tirai jaringan menerusi gol padang Mumtaz Khan dan seminit kemudian, Sangita Kumari menjaringkan gol kedua, juga hasil gol padang.

Empat minit sebelum aksi separuh masa pertama berakhir, India menambah gol ketiga mereka berpunca daripada gerakan padang Lalrindiki untuk skuad bimbingan Erik Wonink selesa mendahului 3-0 berakhir separuh masa pertama.

Seminit sebelum perlawanan sebenar tamat, Mumtaz menjaringkan gol peribadi keduanya, sekali gus menyaksikan perlawanan tamat dengan keputusan 4-0 memihak India.

Skuad negara akan bertemu Uruguay pada pusingan penentuan kedudukan ke-9 hingga ke-16, Jumaat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 April 2022 @ 11:23 AM