Noraini Abdul Rashid
Noraini Abdul Rashid
Mohd Amin Jalil


Seremban: Skuad Negeri Sembilan (NS) Girls mahu mengikut jejak UniKL Ladies yang mampu muncul juara Liga Hoki Malaysia (Wanita) tahun lalu biarpun beraksi buat kali pertama dalam liga berkenaan.

Keazaman tinggi itu disuarakan kapten pasukan NS Girls, Noraini Abdul Rashid, selepas dia diberikan tanggungjawab oleh Persatuan Hoki Negeri Sembilan (PHNS) untuk menggalas tugas selaku jeneral di padang.

NS Girls antara tiga pasukan baharu yang akan bersaing dalam Kejohanan TNB Liga Hoki Malaysia (TNB MHL) 2022 yang bakal membuka tirainya pada 18 Februari ini.

"Saya dan rakan sepasukan akan bekerja keras untuk memastikan NS Girls bukan sahaja mampu memberikan saingan sengit dalam kejohanan kebangsaan tahun ini, malah berpeluang merangkul kejuaraan liga.

"Walaupun beraksi buat julung kali, namun itu bukan halangan untuk kami memasang impian yang tinggi dengan sasaran muncul juara liga.

"Kami ingin mengikut jejak pasukan UniKL Ladies yang pernah mencatat sejarah apabila muncul juara walaupun pertama kali bersaing di pentas berprestij itu," katanya.

Noraini yang juga pemain kebangsaan berkata, dia yakin barisan pemain dipilih PHNS untuk menggalas cabaran sulung itu memiliki pengalaman yang luas di pentas saingan tempatan dan rantau ini.

"Kini, kami sudah bersedia untuk memulakan cabaran hasil persiapan rapi dibuat sejak dua bulan lalu," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat PHNS, Tamil Selvan berkata, walaupun bersaing kali pertama, namun pihaknya serius dalam membuat persiapan melalui pembentukan pasukan NS Girls yang dibimbing bekas jurulatih THT tahun lalu, K Rajan.

Justeru, beliau yakin dengan kemampuan NS Girls untuk memberikan cabaran kerana dibentuk membabitkan enam pemain kebangsaan dan empat bekas pemain kebangsaan.

Selain Nuraini, pemain lain termasuk Nuramirah Shakirah Zulkifli, Hanis Nadiah Onn, Nur Syuhada Shuhaimi, Nur Afiqah Syahzani Azhar, Fatin, Shafika Mahd Sukrie, Farah Ayuni Yahya, Ellya Syahirah Ellias dan Fatin Naimah Zaki.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Februari 2022 @ 7:25 PM