PEMAIN THT Faizal Saari (tengah) diasak pemain Sapura HC, Azreen Rizal Nasir pada perlawanan bulan lalu.
PEMAIN THT Faizal Saari (tengah) diasak pemain Sapura HC, Azreen Rizal Nasir pada perlawanan bulan lalu.

Kuala Lumpur: Muncul juara Liga Hoki Malaysia (TNB-MHL) 2014 bukan episod penamat buat Pasukan Hoki Terengganu (THT) malah mereka mensasarkan kejuaraan berganda menjelang saingan peringkat suku akhir Piala TNB yang akan bermula esok.

Pengurus THT Mohamad Saberi Salleh berkata, mereka yakin semua pemain akan bekerja keras dan berusaha mencapai sasaran berkenaan menjelang saingan separuh akhir pertama Rabu depan.

“Saya rasa kelebihan mungkin berpihak kepada kami untuk membuat perancangan rapi bertemu pasukan yang pernah ditemui di peringkat liga, sama ada UniKL atau Maybank,” katanya.

THT yang muncul juara liga musim ini, mendapat bye di suku akhir dan hanya menanti pemenang antara UniKL dan Maybank yang perlu beraksi di peringkat suku akhir bermula esok.

“Kami tidak anggap bertemu mana-mana pasukan di separuh akhir tugas mudah, tapi kita akan pastikan semua pemain bekerja keras untuk dapatkan trofi Piala TNB.

“Saya rasa pemain boleh menggapai impian itu, kini hanya seorang pemain (Engku Abdul Malek Engku Mohamad) yang mengalami kecederaan. Semua pemain lain boleh beraksi,” katanya.

Mohamad Saberi berkata, mereka mempunyai lima pemain import dari Korea Selatan yang sebelum ini hanya beraksi lapan daripada 10 perlawanan dan sekarang secara keseluruhan kesemuanya sudah serasi walaupun di peringkat awal tidak menjadi.

Perlawanan peringkat suku akhir esok akan menyaksikan UniKL menentang Maybank, manakala Sapura HC bertemu TNB, kedua-dua perlawanan akan berlangsung di Stadium Hoki Nasional 2, Bukit Jalil.

Selain THT turut mendapat bye di suku akhir ialah Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) yang muncul naib juara liga.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Disember 2014 @ 6:47 AM