NURAINI sudah menjaringkan tiga gol, ketiga-tiganya menerusi pukulan sudut penalti. FOTO Ihsan UniKL
NURAINI sudah menjaringkan tiga gol, ketiga-tiganya menerusi pukulan sudut penalti. FOTO Ihsan UniKL
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Kapten UniKL Ladies, Nuraini Abdul Rashid tidak mahu memberi tekanan kepada dirinya sendiri untuk muncul penjaring terbanyak Liga Hoki Malaysia (MHL) Wanita musim ini meskipun berpeluang untuk memenuhi hasrat itu.

Jelas pakar pukulan sudut penalti skuad kebangsaan serta pernah beraksi bersama kelab East Grinstead HC di Liga Hoki England itu, keutamaannya kini adalah untuk membantu pasukannya yang kali pertama beraksi musim ini menjulang kejuaraan liga.

Penjaring terbanyak Piala Razak musim lalu itu nyata tidak mengecewakan apabila sudah menjaringkan tiga gol, ketiga-tiganya menerusi pukulan sudut penalti untuk berkongsi kedudukan penjaring terbanyak bersama empat lagi pemain lain.

"Soal untuk muncul penjaring terbanyak bukanlah keutamaan saya ketika ini. Saya lebih mementingkan kerjasama sepasukan.

"Siapa yang menjaringkan gol, itu tidak penting. Janji setiap perlawanan kami berjaya meraih keputusan tiga mata penuh," katanya.

UniKL Ladies dilihat semakin 'bernafsu' untuk menjulang kejuaraan MHL pada penampilan pertama mereka musim ini selepas menewaskan pasukan pilihan, PDRM Blue Warriors 3-0 semalam.

Keputusan itu menyaksikan UniKL Ladies kini menduduki tangga teratas liga dengan mengumpul enam mata selepas melakar rekod selaku pasukan meraih kemenangan terbesar pada saingan liga apabila membelasah Mutiara Juniors PSHA 17-0 pada perlawanan pertama.

Skuad bimbingan Roslan Jamaluddin itu akan sekali lagi berdepan lawan sukar apabila bakal bertemu pasukan PKS Uniten KPT pada aksi ketiga, Sabtu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mac 2021 @ 12:19 AM