FAIZAL (dua dari kanan) semakin bertambah yakin selepas membantu THT menjulang Piala TNB dan meraih kasut emas di MHL baru-baru ini. FOTO MHC
FAIZAL (dua dari kanan) semakin bertambah yakin selepas membantu THT menjulang Piala TNB dan meraih kasut emas di MHL baru-baru ini. FOTO MHC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Penyerang Pasukan Hoki Terengganu (THT), Faizal Saari akui sudah bersedia 100 peratus untuk menjadi penggempur utama pasukan kebangsaan dalam aksi persahabatan bertemu Great Britain dan Jepun pada 17 hingga 24 April ini di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.

Penjaring terbanyak Liga Hoki Malaysia (MHL) musim ini berkata, kejohanan pemanas badan itu menjadi medan terbaik buatnya untuk membuktikan sentuhannya belum 'berkarat' untuk mencipta gol.

Katanya ia juga peluang terbaik buat pasukan negara untuk menguji kemampuan dan memantapkan lagi pasukan sebelum menghadapi Trofi Juara-Juara Asia di Dhaka, Bangladesh bermula 1 Oktober depan.

"Kejayaan muncul penjaring terbanyak MHL dan menjulang trofi Piala TNB musim ini melonjakkan lagi keyakinan untuk mengetuai jentera serangan pasukan negara pada aksi persahabatan nanti.

"Justeru dengan masa yang ada sebelum kejohanan sebenar, saya akan memanfaatkan dengan sebaik mungkin tugasan bersama pasukan kebangsaan bagi mengekalkan momentum permainan," katanya pada Majlis Apresiasi Bersama THT di Kolej Universiti TATI UC, semalam.

Pemain THT diraikan dalam Majlis Apresiasi di Kolej Universiti TATI UC, semalam. FOTO MALIK MUHAMAD
Pemain THT diraikan dalam Majlis Apresiasi di Kolej Universiti TATI UC, semalam. FOTO MALIK MUHAMAD

Mengulas latihan pada bulan puasa, Faizal yang meledak 16 gol bersama THT musim ini menjelaskan sebagai pemain profesional ia tidak menjadi masalah besar kepada mana-mana pemain.

"Sebelum ini pun kami sudah merasai suasana berpuasa dan berhari raya di luar negara, jadi ia tidak menjadi bebanan kepada kami untuk berlatih dan mengekalkan prestasi pada bulan mulia ini," katanya.

Sementara itu Terengganu mampu menjadi kuasa dalam sukan hoki negara apabila TATI UC bakal membina sebuah stadium hoki bagi membangunkan sukan itu di negeri ini.

Rektor TATI UC, Profesor Dr Anuar Ahmad berkata, bagi merealisasikan pembinaan stadium itu, beliau akan membentangkan perkara ini kepada Ahli Lembaga Pengarah yang dijangka bakal dimuktamadkan pada tahun ini.

"Stadium hoki itu akan dibina di dalam kampus universiti dengan keluasan kawasan antara tiga hingga empat ekar, kita harapkan projek pembangunan stadium hoki ini mampu meningkatkan prestasi pemain dan merancakkan lagi pembangunan pasukan hoki negeri dan juga negara.

"Lagipun TATI UC sentiasa memainkan peranan aktif dalam aspek pembangunan sukan negeri selain kita mempunyai ramai atlet yang sedang melanjutkan pelajaran di bawah program biasiswa sukan," katanya yang turut dihadiri Penaung Persatuan Hoki Terengganu (PHT) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemasek, Ir. Saiful Azmi Suhaili, Pemangku Presiden PHT, Mohd. Fikri Harun serta barisan pemain dan jurulatih THT.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 April 2021 @ 6:33 PM