VIKNESWARAN (tengah) memberi tunjuk ajar kepada sebahagian guru terbabit dengan Klinik Pembangunan Hoki di Stadium Hoki Batu Buruk. - FOTO Malik Muhamad
VIKNESWARAN (tengah) memberi tunjuk ajar kepada sebahagian guru terbabit dengan Klinik Pembangunan Hoki di Stadium Hoki Batu Buruk. - FOTO Malik Muhamad
Malik Muhamad


LANGKAH Persatuan Hoki Terengganu (PHT) dan Majlis Sukan Sekolah Terengganu (MSST) menganjurkan Klinik Pembangunan Hoki kepada guru dan pelajar di negeri itu perlu dilihat secara lebih positif selain wajar dicontohi negeri lain.

Malah klinik pembangunan hoki itu harus dilakukan secara lebih konsisten oleh semua persatuan hoki negeri dalam misi melahirkan lebih ramai lagi pemain negara berbakat dan berkemahiran tinggi dalam sukan itu.

Pandangan itu disuarakan bekas jurulatih Pasukan Hoki Terengganu (THT), I Vikneswaran yang menyifatkan penganjuran klinik hoki itu sebagai permulaan yang baik bukan saja kepada pelajar malah juga kepada guru di sekolah.

"Pandangan saya klinik hoki ini sangat sesuai diadakan kerana corak permainan sukan hoki sudah moden, oleh sebab itu mereka perlu tahu apa yang diperlukan permainan itu pada masa ini.

"Apa yang saya lihat di Malaysia pembangunan sukan ini dilakukan bahagian pembangunan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) tetapi di Terengganu persatuan hoki negeri mengambil inisiatif menjalankan pembangunan hoki mereka sendiri bagi melahirkan lebih ramai pemain berbakat dan berkualiti sekali gus pemain mendapat pendedahan yang luas,” kata Vikneswaran ketika ditemui pada klinik hoki itu di Stadium Hoki Batu Buruk kelmarin.

Katanya, langkah PHT mengadakan klinik hoki itu wajar dicontohi negeri lain kerana ia adalah model kepada semua negeri dengan semua persatuan daerah bergabung untuk menjalankan aktiviti bersepadu ini demi masa depan hoki negara.

"Selain itu, guru yang mula-mula mencungkil bakat pemain sekolah harus didedahkan dengan klinik hoki sebegini kerana kita sangat bergantung kepada mereka. Justeru, kita perlu melahirkan lebih ramai lagi guru berkemahiran tinggi dalam sukan ini dengan pembangunan hoki tahap tinggi dan bukannya pembangunan tahap dasar," katanya.

Klinik hoki ini turut dikendalikan pemain THT yang juga bekas pemain kebangsaan, Mohd Shahrun Nabil Abdullah.

Sementara itu, penyelaras program, Kamal Asyraff Nordin berkata, klinik hoki yang diadakan selama dua hari bermula itu disertai 70 guru dan 93 pelajar.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2019 @ 8:09 PM