GONZALO Merino antara tonggak import yang pernah mewakili THT. FOTO OWEE AH CHUN.
GONZALO Merino antara tonggak import yang pernah mewakili THT. FOTO OWEE AH CHUN.
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Gergasi Liga Hoki Malaysia (MHL), Pasukan Hoki Terengganu (THT) mengumumkan skuad itu turun tanpa tonggak import dalam mengharungi saingan MHL musim depan.

Malah skuad The Turtles itu juga dijangka turun tanpa nama besar yang sebelum ini membarisi pasukan, sebaliknya ramai muka baharu bakal mewarnai skuad dari Pantai Timur itu.

Pengumuman itu dimaklumkan Pemangku Presiden Persatuan Hoki Negeri Terengganu (PHNT), Mohd Fikri Harun yang mengakui faktor kewangan menjadi penyebab skuad itu bakal turun tanpa tonggak import dan pemain tempatan berpengalaman.

"Ya THT tanpa khidmat pemain import dalam mengharungi liga musim depan manakala beberapa pemain tonggak berpengalaman tempatan yang sebelum ini menyarung jersi THT kita akan nilai semula.

"Ini disebabkan faktor kewangan kerana sudah tentu kita memerlukan kos yang tinggi untuk membayar gaji pemain.

"Musim ini bajet yang kita dapat berkurangan lebih 50 peratus berbanding musim lalu, ini sudah tentu akan membebankan kita jika kita berbelanja tidak mengikut poket dan kemampuan kita.

"Ini cabaran besar yang perlu kita lalui untuk bersaing dalam pentas kompetitif dan paling berprestij di Malaysia itu. Namun kita tetap mensasarkan kedudukan terbaik dalam liga selain mengintai peluang untuk merangkul Piala TNB," katanya kepada Sukan NSTP yang mengakui masih belum membuat keputusan muktamad pengendali skuad itu.

Musim lalu THT gagal meraih sebarang trofi selepas hanya muncul naib juara Piala Sumbangsih dan Piala TNB serta ketiga liga.

Dengan pengumuman tanpa tonggak import itu, saingan MHL musim depan dijangka suram apatah lagi THT adalah pencabar terkuat dalam pentas itu bersama pasukan UniKL selain Maybank dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).Saingan musim ini dijadualkan bermula pada 8 Januari hingga 28 Februari 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Disember 2020 @ 1:21 PM