KETUA jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee. FOTO BERNAMA
KETUA jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee. FOTO BERNAMA
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee menafikan berlaku masalah dalaman membabitkan pasukan bimbingannya seperti didakwa beberapa pihak berdasarkan khabar angin tersebar di media sosial.

Beliau berkata, kebenaran itu dapat dilihat berdasarkan prestasi pasukan Sabah FC ketika ini yang tidak menampakkan apa-apa tanda sedang dilanda masalah dalaman.

"Kalau dilihat prestasi kita, saya tidak nampak ada masalah (dalaman). Apa yang penting di sini, semua pemain menunjukkan satu semangat cukup positif bukan saja dalam latihan, tetapi dalam perlawanan.

"Jadi apa yang kita dengar di luar itu, kita harus pastikan sebelum kita mengatakan sesuatu," katanya pada sidang media menjelang perlawanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2023 Kumpulan H menentang Hai Phong FC.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan berlaku masalah dalaman membabitkan Sabah FC yang mungkin memberi kesan kepada pemain, termasuk aksi Piala AFC.

Dalam saingan Piala AFC, Sabah FC ketika ini berada di tangga kedua Kumpulan H di belakang Hai Phong FC dan tangga kelima daripada 14 pasukan dalam carta Liga Super 2023.

Berdasarkan khabar angin, Sabah FC didakwa berdepan masalah kewangan yang menjejaskan pembayaran gaji pemain, khususnya Bawah 23 Tahun (B-23), menjadikannya pasukan terbaharu terpalit dengan isu itu selepas Negeri Sembilan FC, Kedah Darul Aman FC dan KL City FC.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 November 2023 @ 10:35 PM