PELE dilaporkan sedang dirawat di Hospital Albert Einstein. FOTO AFP
PELE dilaporkan sedang dirawat di Hospital Albert Einstein. FOTO AFP
AFP

Sao Paulo: Legenda bola sepak Brazil, Pele akan menyambut perayaan Krismas di hospital, kata pasukan perubatan dan keluarganya bagi meneruskan rawatan penyakit kanser yang semakin teruk selain masalah buah pinggang dan jantung.

Legenda berusia 82 tahun itu memerlukan penjagaan yang lebih baik berkaitan dengan disfungsi buah pinggang dan jantung, kata Hospital Albert Einstein di Sao Paulo.

Pele bagaimanapun tidak diletakkan di unit rawatan rapi meskipun terdapat laporan menyatakan penyakit kansernya semakin teruk.

Dianggap sebagai pemain bola sepak terhebat sepanjang zaman, Pele dimasukkan ke hospital di Sao Paulo pada 29 November lalu untuk melakukan rawatan kemoterapi yang dilakukannya sejak menjalani pembedahan membuang tumor kolon pada September 2021.

Doktor juga mendapati Pele atau nama sebenarnya Edson Arantes do Nascimento mempunyai masalah jangkitan pernafasan.

Awal bulan ini, anak perempuan Pele, Kely Nascimento dan Flavia Arantes berusaha untuk meyakinkan peminat berhubung kesihatan bapanya dengan menafikan laporan bahawa Pele berada dalam keadaan tenat.

Semalam menerusi Instagram mereka memaklumkan akan menyambut perayaan Krismas bersama Pele di hospital.

"Sambutan Krismas kami di rumah terpaksa ditangguhkan.

"Kami bersama doktor atas beberapa sebab memutuskan adalah lebih baik untuk tinggal di sini dengan semua penjagaan rapi diberikan di Einstein," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Disember 2022 @ 7:41 AM