PELE
PELE
AFP

RIO DE JANEIRO: Legenda bola sepak Pele berkata, Brazil adalah pasukan pilihan untuk menjuarai Piala Dunia Russia, empat tahun selepas diaibkan di laman sendiri.

Brazil yang juga juara lima kali itu tewas 1-7 pada aksi separuh akhir kepada Jerman yang muncul juara edisi 2014 di Stadium Maracana namun Pele yang dianggap antara pemain terbaik sepanjang zaman, menegaskan bahawa jurulatih baru, Tite berjaya membentuk pasukan yang mampu melupakan kenangan pahit itu.

“Rakyat Brazil dan mereka yang yakin terhadap Brazil akan sentiasa meletakkan Brazil sebagai pasukan pilihan,” kata bekas pemain berusia 77 tahun itu ketika menghadiri majlis perasmian liga Rio de Janeiro.

Pasukan Selecao melepasi kelayakan sebagai juara kumpulan zon Amerika Selatan, dengan Tite membentuk skuad hebat yang terdiri daripada pemain termahal dunia Neymar dan pemain baru Barcelona, Philippe Coutinho.

“Satu perkara baik yang berlaku dengan ketibaan Tite, beliau berjaya membentuk pasukan,” kata Pele.

“Pada Piala Dunia sebelum ini, kami memiliki pemain terbaik dunia tetapi pasukan pula kucar-kacir.

“Nampaknya sekarang kami sudah memiliki pasukan mantap dan Selecao memberikan kami keyakinan.”

Pele yang menjuarai tiga Piala Dunia bersama Brazil pada 1958, 1962 dan 1970, dilihat bergelut dengan masalah kesihatan dan hari ini beliau kali pertama tampil bertongkat selepas hadir pada undian Piala Dunia Disember lalu dengan berkerusi roda.

Pele yang menjaringkan lebih 1,000 gol sepanjang kariernya turut mendakwa bola sepak moden kurang melahirkan pemain hebat berbanding eranya, biarpun dengan kehadiran Lionel Messi, Cristiano Ronaldo dan Neymar.

“Hari ini, hanya tiga pemain yang benar-benar menyerlah iaitu Messi, Cristiano Ronaldo dan Neymar. Sebelum ini pada era (Johan) Cruyff atau (Franz) Beckenbauer, ada tiga pemain hebat dalam setiap pasukan.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 January 2018 @ 9:37 AM