PELANCONG menggunakan payung ketika di luar sebuah tokong di Bangkok. FOTO AFP
PELANCONG menggunakan payung ketika di luar sebuah tokong di Bangkok. FOTO AFP
AFP

Bangkok: Pihak berkuasa Thailand, semalam, mengeluarkan amaran panas melampau untuk Bangkok dan menggesa orang ramai untuk tinggal di dalam rumah bagi tujuan keselamatan ketika suhu meningkat.

Suhu diramalkan mencecah 39 darjah Celsius di Bangkok, manakala indeks haba meningkat melebihi 52 darjah Celsius, dikelaskan sebagai amat berbahaya oleh pihak berkuasa bandar.

Indeks haba ialah ukuran suhu, mengambil kira kelembapan, kelajuan angin dan faktor lain.

"Amaran indeks haba hari ini (Rabu) adalah 'sangat berbahaya'. Sila elakkan aktiviti di luar rumah.

"Indeks haba dikelaskan sebagai amat berbahaya apabila melebihi 52 darjah Celsius," tulis jabatan alam sekitar pihak berkuasa bandaraya Bangkok dalam catatan di Facebook.

April, lazimnya masa paling panas dan lembap dalam setahun di Thailand, tetapi keadaan tahun ini diburukkan lagi dengan El Nino.

Kerajaan dilanda gelombang panas minggu ini, dengan suhu 44.2 darjah Celsius direkodkan di wilayah utara Lampang pada Isnin lalu, hanya sedikit daripada rekod kebangsaan sepanjang zaman iaitu 44.6 darjah Celsius.

Tetapi bagi ramai yang mencari rezeki di jalanan bandar, tinggal di dalam rumah, ia bukanlah satu pilihan.

"Saya rasa seperti hampir pengsan apabila saya bekerja di luar hari ini, tetapi saya tidak mempunyai pilihan, bukan?" kata seorang pemandu teksi.

Penjaja makanan, Buppha Nakhin, memanggang bebola daging di gerai jalanan di pusat bandar Bangkok berkata, dia cuba untuk berada di tempat teduh.

"Ia sangat panas. Cuaca panas tahun ini adalah yang paling melampau. Kadang-kadang saya berasa pening, tetapi (tidak) pengsan lagi," katanya.

Cuaca panas dijangka berterusan dalam beberapa hari akan datang, dan kerajaan menggesa orang ramai untuk kekal terhidrasi, memakai pelindung matahari dan bersenam di dalam rumah untuk mengelakkan strok haba.

Suhu global mencecah paras tertinggi tahun lepas, dan agensi cuaca dan iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada Selasa lalu berkata, Asia 'memanas' pada kadar yang sangat pantas.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2024 @ 11:12 AM