SELANGOR FC akan berdepan  NSFC di Stadium MBPJ.
SELANGOR FC akan berdepan NSFC di Stadium MBPJ.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Empat pasukan ternama Liga Malaysia (Liga M) termasuk Johor Darul Ta'zim (JDT), Selangor, Sabah dan Kedah Darul Aman (KDA) dilihat tidak berdepan laluan berliku untuk melayakkan diri ke suku akhir Piala FA 2024-2025.

JDT yang juga juara bertahan akan menentang pasukan tangga kedua terbawah Liga Super, Kelantan Darul Naim (KDN) FC di gelanggang sendiri dalam aksi pusingan 16 yang akan berlangsung pada 15 Jun depan.

Naib juara Liga Super musim lalu, Selangor pula sekali lagi melayan kunjungan pasukan yang mereka tewaskan 4-0 dalam aksi Liga Super, Negeri Sembilan FC (NSFC) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

KDA dan Sabah berdepan tugas lebih mudah apabila akan menentang pasukan Liga A1, Kuala Lumpur Rovers dan Bukit Tambun FC dalam aksi yang akan berlangsung pada 14 dan 15 Jun.

Enam pasukan Liga Super iaitu Sri Pahang, Penang, Terengganu FC (TFC), Perak, Kuala Lumpur (KL) City dan Kuching City bakal menghitung nasib mereka apabila terpaksa berdepan situasi hidup mati untuk merebut tiket ke suku akhir.

Berdepan Sri Pahang di gelanggang lawan, Penang tiada jalan lain selain perlu menang kerana aksi pusingan 16 akan berlangsung dengan format kalah mati.

Ketua jurulatih Penang FC, Akmal Rizal Ahmad Rakhli turut mengakui tugas berat menanti anak buahnya yang akan berkunjung ke Stadium Temerloh dengan skuad Harimau Kumbang mahu mempersiapkan barisan serangan terbaik menjelang perlawanan itu.

Penang FC yang mencatatkan keputusan seri dalam tiga perlawanan pertama dalam aksi Liga Super musim ini dilihat mempunyai sedikit kelainan dengan bantuan beberapa kombinasi pemain muda yang dibawa dari skuad bawah 23 tahun musim lalu.

"Walaupun ramai pemain muda, mereka semua sudah serasi dan faham dengan taktikal dan perancangan pasukan ini. Walaupun bermain di Temerloh, kami akan beri tentangan terbaik," katanya.

KL City dan Kuching City yang terikat 1-1 dalam aksi Liga Super sebelum ini sekali lagi akan bertembung di pusingan 16 Piala FA di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, 14 Jun depan.

Sementara itu, Perak yang tewas 1-3 kepada TFC dalam aksi Liga Super sebelum ini akan berkunjung ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin dengan tugas getir bakal menanti Bos Gaurus untuk mengatasi skuad Penyu.

Pusingan 16 Piala FA akan bermula dengan aksi PDRM menentang pasukan Universiti Malaysia di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Rabu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Jun 2024 @ 4:13 PM