PIALA Malaysia. FOTO Arkib NSTP
PIALA Malaysia. FOTO Arkib NSTP
Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Jangan pandang sebelah mata pasukan bertaraf kerdil apabila mereka boleh menjadi pemusnah kepada impian skuad gergasi untuk mendakap Piala Malaysia. Peringatan itu diberikan kepada pasukan gergasi Liga Malaysia terutama yang akan berhadapan skuad Liga Perdana pada saingan Piala Malaysia.

Di atas kertas, pada perlawanan hari ini, Johor Darul Ta'zim (JDT), Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dan Melaka United FC (MUFC) sudah tentu dilihat mempunyai kelebihan untuk mengutip tiga mata penting berdasarkan lawannya membabitkan kelab Liga Perdana.

Ketiga-tiga pasukan itu akan menerima kunjungan wakil Liga Perdana di gelanggang sendiri, dengan JDT akan menentang Kelantan FC dalam Kumpulan D, manakala KDA FC berdepan Kelantan United FC (KUFC) dan MUFC melawan Negeri Sembilan FC bagi aksi Kumpulan C.

Memegang status pasukan dalam liga nombor satu negara dan turut memiliki kelebihan beraksi di laman sendiri, tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa tiga pasukan itu wajib mendapatkan kemenangan bagi menjaga 'air muka' Liga Super.

Melihat kepada kekuatan dari segi barisan pemain dan prestasi sepanjang musim ini, JDT yang juga juara Liga Super lapan kali berturut-turut dijangka tidak berdepan sebarang masalah untuk mengatasi Kelantan FC.

Malah, berdasarkan reputasi besar JDT termasuk selaku juara bertahan Piala Malaysia, Harimau Selatan tampak boleh meraih kemenangan besar jika dibandingkan dengan The Red Warriors (TRW) yang hanya menamatkan saingan Liga Perdana di kedudukan keenam.

Selain JDT, KDA FC yang juga naib juara Liga Super turut berdepan tugas mudah bagi aksi pembukaan Piala Malaysia dengan Kelantan United muncul pasukan terakhir mengesahkan tempat ke kejohanan tertua Asia Tenggara itu dan menduduki tangga ketujuh Liga Perdana.

Di atas kertas, tidak nampak jalan buat TRW dan KUFC untuk melakar kejutan ke atas dua gergasi Liga Malaysia (Liga M) itu, namun mereka hanya boleh berpegang kepada tanggapan bahawa 'dalam bola sepak apa sahaja boleh berlaku' sebagai kekuatan.

Walaupun nampak mudah, Harimau Selatan dan Helang Merah sebenarnya tidak boleh terlalu yakin bagi mengelak persembahan sambil lewa sepanjang 90 minit hingga boleh memakan diri. Berbeza dengan JDT dan KDA FC, MUFC mungkin berdepan tugas lebih berat kerana walaupun beraksi di liga kedua, Negeri Sembilan musim ini bukanlah calang-calang pasukan dengan skuad 'Jang' pasti memiliki keyakinan tinggi selepas bergelar juara Liga Perdana.

Berdasarkan prestasi kurang konsisten skuad kendalian Zainal Abidin Hassan yang menamatkan Liga Super di kedudukan kelapan, peluang buat MUFC meraih kemenangan ke atas Negeri Sembilan boleh dianggap 50-50.

Satu lagi aksi Kumpulan D yang tidak kurang hebatnya akan berlangsung malam ini adalah pertembungan dua wakil Liga Super, PJ City FC dan Sabah FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Namun, perlu diingatkan bahawa saingan Piala Malaysia cukup berbeza berbanding perlawanan liga kerana pasukan kecil kebiasaannya akan bangkit dan 'membaham' skuad gergasi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 September 2021 @ 7:05 AM