PAPE Diakate meraikan jaringan gol bersama rakan sepasukan pada perlawanan Liga Super menentang Sabah FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. FOTO Ghazali Kori
PAPE Diakate meraikan jaringan gol bersama rakan sepasukan pada perlawanan Liga Super menentang Sabah FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Terengganu FC (TFC) berjaya membalas dendam kekalahan lalu selepas membenam Sabah FC 2-0 dalam aksi ke-19 Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, malam ini.

Dengan kemenangan itu, skuad Penyu kendalian Nafuzi Zain berjaya mendaki satu anak tangga di kedudukan ketiga liga dengan mengumpul 35 mata manakala skuad The Rhinos kendalian Datuk Ong Kim Swee kekal menghuni kedudukan kedua liga dengan mengutip 36 mata.

Terdahulu skuad Sabah FC pantas menguji gawang tuan rumah menerusi percubaan Dominic Tan dari dalam kotak penalti pada minit kelima, namun rembatan padu pemain itu melepasi palang gol.

Seminit kemudian bermula dengan sepakan sudut yang diambil bekas pemain pelawat, Petrus Shetembi, Pape Diakite menggunakan ketinggiannya menanduk masuk gol pertama TFC untuk pasukannya mendahului 1-0.

Berbekal sokongan padu hampir 12,000 peminat setia selain aksi terakhir liga di laman sendiri, TFC berjaya menambah gol kedua menerusi pemain pinjaman dari Selangor, Nik Muhammad Sharif Haseefy Mohd Lazim pada minit ke-30 berpunca hantaran silang Faisal Halim.

Lima minit berselang, pemain pertahanan, Muhammad Shahrul Nizam Ros Hasni hampir meletakkan namanya sebagai penjaring, namun tandukannya hasil sepakan sudut Shetembi gagal menerjah jaring gol.

Pada minit ke-40, pemain tengah pelawat, Mohd Irfan Fazail terlepas peluang untuk merapatkan kedudukan selepas percubaannya dihalang penjaga gol, Suhaimi Husin.

Kapten TFC, Kipre Tchetche juga terlepas peluang untuk mencetak nama sebagai penjaring selepas peluang terhidang di depan gol pada masa kecederaan babak pertama gagal disudahkan dengan jaringan.

Bersambung babak kedua, nasib malang sekali lagi menghantui Tchetche apabila percubaannya pada minit ke-54 hasil hantaran Shetembi diselamatkan atas garisan pintu gol oleh Dominic Tan.

Sedar kerap diasak, Kim Swee memasukkan empat tenaga baharu iaitu Baddrol Bakhtiar, Farhan Roslan, Gary Steven Robbat dan Nazirul Naim Che Hashim, namun gagal menemui jaringan.

Sebaliknya pelawat terpaksa beraksi dengan sepuluh pemain selepas pertahanan, Rizal Ghazali diperintahkan keluar padang oleh pengadil, Fitri Maskon sesudah dilayangkan kad kuning kedua kerana melakukan kekasaran ke atas pemain gantian, Hakimi Abdullah pada minit ke-76.

Bagaimanapun peluang itu gagal dimanfaatkan pemain tuan rumah untuk menambah jaringan dan kedudukan 2-0 itu kekal hingga tamat perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Oktober 2022 @ 11:08 PM