Pemain Perak FC II Ghislain Guessan (dua kiri) menendang bola namun berjaya diselamatkan oleh penjaga gol TFC II dalam aksi Liga Perdana. FOTO Ghazali Kori
Pemain Perak FC II Ghislain Guessan (dua kiri) menendang bola namun berjaya diselamatkan oleh penjaga gol TFC II dalam aksi Liga Perdana. FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Walaupun gagal mengutip mata penuh, Terengganu FC II (TFC II) tetap ceria selepas berjaya merampas kedudukan teratas Liga Perdana sesudah terikat tanpa jaringan menentang Perak FC II di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam ini.

Skuad kendalian Badrul Afzan Razali itu berkongsi 29 mata dengan Negeri Sembilan di tangga kedua, namun berkelebihan jaringan berbanding skuad Hobin Jang Hobin.

Sepanjang babak pertama, skuad The Turtles mendominasi permainan, namun gagal memecah kebuntuan gol apabila pelawat dilihat lebih banyak 'berkampung' dalam kawasan sendiri.

Perak FC II yang sesekali melancarkan serangan hampir berjaya mendahului menerusi percubaan penyerang kelahiran Perancis, Ghislain Guessan pada minit ke-21, tapi penjaga gol, Syed Muhammad Nasrulhaq Syed Bidin bijak membaca percubaan itu.

Skuad The Turtles memperolehi peluang terbaik untuk mendahului permainan pada minit ke-31 menerusi rembatan padu Mohamad Rahmat Makasuf yang sedikit tersasar.

Dua minit berselang, peluang kedua tuan rumah hadir menerusi tandukan kapten, Argzim Redzovic hasil sepakan sudut Rahmat, namun masih belum menemui sentuhan jaringan, begitu juga tandukannya pada minit ke-39 terkena palang gol.

Sebelum wisel babak pertama ditiup pengadil, Mohammad Izzat Izaini Ali, pemain tengah pelawat, Khairul Syafiq Mustaffa memperolehi peluang keemasan untuk meletakkan pasukannya di depan menerusi rembatan dalam kotak penalti, tapi penjaga gol sekali lagi bertindak cemerlang menggagalkan percubaan itu.

Pada minit ke-57, The Turtles dihadiahkan sepakan penalti selepas Amirul Syazwan Nor Azmi dijatuhkan pertahanan, Royizzat Daud.

Namun sepakan yang diambil Muhamad Izzan Syahmi Mustapa berjaya ditampan penjaga gol, Ahmad Syazwan Syazany Ahmad Shafei dan sepakan susulan pemain itu dibatalkan kerana terlebih dahulu terkena tangan walaupun berjaya menghasilkan jaringan.

Ketumpulan penyerang kedua-dua pasukan menyaksikan kedudukan 0-0 kekal hingga tamat perlawanan.

Keputusan perlawanan Liga Perdana:

PDRM 2 JDT II 2

TFC II 0 Perak FC 0

Kelantan FC 3 KUFC 1

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Ogos 2021 @ 11:26 PM