PENGURUS Manchester United, Erik ten Hag. FOTO Reuters
PENGURUS Manchester United, Erik ten Hag. FOTO Reuters
Reuters

London: Pengurus Manchester United, Erik ten Hag berkata, kelab itu tidak akan menandatangani pemain baharu sebelum jendela perpindahan ditutup selepas melengkapkan perbincangan dengan Antony dan Martin Dubravka, manakala Cristiano Ronaldo dijangka kekal.

Semalam, United mencapai persetujuan dengan Ajax Amsterdam untuk menandatangani pemain sayap Brazil, Antony dan media Britain melaporkan yuran perpindahan 80.75 juta pounds (RM419.91 juta) dengan tambahan 4.25 juta pounds (RM22.10 juta).

Kelab itu turut berharap dapat menandatangani penjaga gol Newcastle United, Dubravka secara pinjaman, dengan pilihan untuk menjadikannya perjanjian kekal.

"Bagi jendela perpindahan ini, ia sudah cukup," kata Ten Hag kepada media.

"Anda perlu sentiasa berjaga-jaga di kelab utama. Tetapi, kami akan bermain dari September sehingga paling minimum Januari depan, bersama skuad ini.

"Bagi bahagian serangan, kami perlu menguatkan pasukan. Pemain serangan cepat letih dan mereka perlu berlari lebih dengan intensiti."

Ten Hag mengakui yakin Ronaldo akan kekal bersama kelab itu, di sebalik spekulasi mengenai masa depannya selepas media Britain melaporkan bintang Portugal berusia 37 tahun itu mahu meninggalkan United untuk bermain di Liga Juara-Juara Eropah.

"Memang jelas, kami perlukan pemain berkualiti. Kami perlu lebih ramai pemain untuk bermain di semua perlawanan," kata Ten Hag apabila ditanya mengenai masa depan Ronaldo.

Menurutnya, bek kanan, Aaron Wan-Bissaka turut akan kekal walaupun sebelum ini dikaitkan dengan perpindahan ke kelab lain.

United yang kini menduduki tangga ke-11 EPL akan berkunjung ke Leicester City, awal pagi Jumaat tanpa penyerang, Anthony Martial yang cedera, manakala pemain pertahanan, Victor Lindelof sudah kembali berlatih.

Berikutan perjanjian Antony belum lengkap, pemain sayap itu dijangka akan membuat penampilan apabila menentang Arsenal, Ahad depan.

Ten Hag berkata, pasukannya perlu mengekalkan mentaliti kemenangan selepas menang dua aksi terakhir dan sebelum itu menduduki tangga tercorot liga apabila kecundang dua perlawanan awal.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Ogos 2022 @ 9:41 PM