REMBATAN penalti Saka yang tersasar ketika Arsenal seri 2-2 dengan West Ham di Stadium London. FOTO Reuters
REMBATAN penalti Saka yang tersasar ketika Arsenal seri 2-2 dengan West Ham di Stadium London. FOTO Reuters
Agensi

London: Mikel Arteta berang dengan ketumpulan naluri 'pembunuh' Arsenal selepas mereka kehilangan dua lagi mata penting dalam persaingan sengit memburu gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL).

Bukayo Saka terlepas penalti ketika menentang kelab sedang bergelut West Ham semalam dan pendahulu EPL itu yang mendahului dua gol gagal mengekalkan kelebihan buat kali kedua dalam tempoh seminggu.

Pencabar Manchester City kini hanya empat mata di belakang Gunners serta beraksi kurang satu perlawanan dan kesemua momentum kini dalam tangan mereka.

Pengurus Arsenal, Arteta berkata: "Jika perlawanan sedia untuk 'dibunuh', anda perlu lakukannya. Jika anda tidak miliki pemikiran agresif seperti itu di EPL, pada peringkat tertentu, momentum akan menjadi sebaliknya. Sangat mengecewakan.

"Kami melakukan kesilapan besar berhenti bermain untuk menjaringkan gol lagi. Ia tampak terlalu mudah. Kami fikir kami boleh ambil mudah dan kekalkan jaringan tetapi pada masa sama memberikan mereka harapan.

"Jika anda melepaskan gol ketika mendahului dan membazirkan penalti, anda berdepan masalah besar."

Arsenal akan menentang pemburu tiga kejuaraan City di Etihad dalam tempoh sembilan hari lagi, perlawanan yang boleh dianggap 'final' EPL oleh pengurus Citizens, Pep Guardiola.

Arteta berkata: "Saya tidak mempunyai idea apa makna hari ini untuk perlumbaan ligat tetapi kami perlu cari jalan penyelesaian di atas apa yang berlaku. Sangat sukar memenangi liga ini. 30 minit beraksi dengan baik tidak mencukupi."

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 April 2023 @ 8:13 AM