Pengendali Arsenal, Mikel Arteta memberi arahan kepada pemain. FOTO AFP
Pengendali Arsenal, Mikel Arteta memberi arahan kepada pemain. FOTO AFP
AFP

London: Mikel Arteta percaya skuad Arsenal kendaliannya bakal berdepan pasukan terbaik di Eropah apabila bertemu pendahulu Liga Perdana, Manchester City di Stadium Emirates, esok.

City mencatat rekod 17 kemenangan berturut-turut dalam semua kejohanan dan mendahului 10 mata daripada pasukan di tangga kedua liga, Manchester United.

Arteta sangat mengenali Pep Guardiola selepas bekerja di bawah kendalian bos City di Manchester selama tiga tahun sebelum bekas pemain Arsenal itu kembali ke kelabnya dengan tugas sebagai pengendali Gunners.

"Saya fikir mereka adalah pasukan terbaik di Eropah buat masa ini," kata Arteta mengenai pasukan Man City.

"Cara mereka menyerlah, aksi bola sepak yang dipamerkan dan keputusan yang konsisten, memiliki segalanya dan ia menjadikan mereka pasukan terbaik.

"Jadi kami harus berwaspada, begitu juga perasaan teruja berdepan cabaran menanti pada perlawanan Ahad ini."

City memulakan musim dengan aksi tidak menentu tetapi kini menjadi pilihan utama untuk memenangi kejuaraan Liga Perdana Inggeris kali ketiga dalam tempoh empat musim.

Arteta mengakui dia berasa kagum dengan bagaimana City meningkatkan pencapaian mereka dalam tempoh sukar sejak kebelakangan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Februari 2021 @ 8:23 AM