PEMAIN Arsenal, Gabriel meraikan jaringannya bersama William Saliba ketika bertemu Fulham. FOTO Reuters
PEMAIN Arsenal, Gabriel meraikan jaringannya bersama William Saliba ketika bertemu Fulham. FOTO Reuters
Agensi

London: Perlumbaan empat teratas semakin hangat pada minggu ini apabila beberapa kelab yang sedang memburu tiket Liga Juara-Juara mencicirkan mata.

Keputusan seri tanpa jaringan Manchester United dengan Southampton bermakna mereka gagal bangkit di saingan Liga Perdana selepas kekalahan 0-7 di tangan Liverpool.

Tottenham pula hanya ketinggalan dua mata di belakang anak buah Erik ten Hag hasil kemenangan 3-1 ke atas Nottingham Forest.

Newcastle juga memanfaatkan kegagalan Man United dengan kemenangan 2-1 ke atas Wolves.

Namun super komputer meramalkan Spurs masih gagal menduduki kelompok empat teratas di sebalik kemenangan terbaru mereka itu.

Man United dijangka kekal menduduki tempat ketiga untuk baki kempen musim ini dan ia diikuti oleh Newcastle yang dibimbing Eddie Howe.

Sementara itu, Arsenal dijangka akan memenangi gelaran Liga Perdana mengatasi Manchester City.

Mereka mempunyai kelebihan lima mata ke atas juara bertahan itu selepas meraih kemenangan 3-0 ke atas Fulham.

Ketika anak buah Pep Guardiola merapatkan sedikit jurang dengan Arsenal, mereka dijangka gagal mendominasi gelaran Liga Perdana buat kali kelima dalam tempoh enam musim.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mac 2023 @ 9:08 PM