JDT dijangka akan terus kuasai Liga M. -FOTO Bernama
JDT dijangka akan terus kuasai Liga M. -FOTO Bernama
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Tiga pasukan elit Liga Super babitkan Terengganu FC, Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dan Selangor FC dijangka menjadi pesaing utama kepada juara 10 kali berturut-turut Johor Darul Ta'zim (JDT) musim ini.

Ramalan itu dikongsikan bekas pemain kebangsaan, Datuk Richard Scully yang memilih JDT untuk mengekalkan kejuaraan liga buat kali ke-11 bagi musim 2024-2025 ini.

Jelas bekas Naib Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM) itu, kehebatan skuad Harimau Selatan sukar untuk digugat, malah beliau tidak terkejut sekiranya pasukan itu menyapu bersih kesemua trofi musim ini.

Begitupun, beliau menjangkakan tiga pesaing khususnya skuad Penyu mampu memberi tentangan hebat kepada JDT selain Red Giants dan Sang Kenari.

"Saya pilih Terengganu FC kerana Terengganu satu pasukan saya rasa dia boleh buat kejutan, kerana susun atur mereka dan kewangan mereka dilihat stabil. Malah pemain mereka juga boleh membuat kejutan.

"Saya pun percaya Kedah...dan ia (baru selesai isu tunggakan gaji) betul, tapi itu disebabkan hal pengurusan. Tapi kualiti pemain yang sedia dan ada jiwa, dia boleh main.

"Selangor pun ada kehebatan dia, kebangkitan Selangor saya rasa itu boleh membuat kejutan," katanya dalam sesi bual bicara podcast 'Apa-Apa Saja' disaluran Youtube Harian Metro, hari ini.

Saingan Liga Malaysia (Liga M) bakal membuka tirainya pada 10 Mei ini dengan membabitkan perlawanan sumbangsih antara juara liga musim lalu, JDT dan naib juara liga, Selangor FC di Stadium Sultan Ibrahim.

Berbanding musim lalu, kempen musim ini hanya menyaksikan 13 pasukan bersaing selepas Kelantan FC ditarik Lesen Kebangsaan selain liga mengalami perubahan kalendar mengikut standard Eropah yang bermula dari Mei dan berakhir pada April tahun berikutnya.

Ujarnya lagi, tekanan pastinya dirasai pemain JDT yang saban musim meletakkan tanda aras cukup tinggi dalam saingan domestik.

"Semua pasukan yang bersaing adalah pencabar untuk JDT, semua nak menang tapi kalau seri itu akan jadi bonus untuk mereka.

"Tetapi meletakkan JDT dalam suasana macam ini adalah tekanan, di mana mereka mesti mengatasinya. Ini tekanan mental bukannya soal bermain bola...main bola mereka boleh main.

"Tapi tekanan mental itu mereka perlu menang setiap perlawanan dan ia wajib menang. Kalau seri ia dianggap kalah, awak dah sedekah dua mata dianggap kalah. Jadi mesti menang sepanjang liga berjalan, dan macam mana nak pastikan kedudukan teratas kekal sepanjang musim," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mei 2024 @ 1:29 PM