TEGURAN Tunku Ismail buat Syafiq Ahmad. FOTO Instagram
TEGURAN Tunku Ismail buat Syafiq Ahmad. FOTO Instagram
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: "Tak suka? Pintu terbuka (untuk keluar). Ini bukan penjara. Simple."

Itu amaran yang diberikan pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim selepas penyerang sensasi negara, Syafiq Ahmad meluahkan secara terbuka di laman sosial yang dirinya merindui untuk beraksi semula di atas padang.

Jelas Tunku Ismail, pemilihan pemain dalam skuad utama dibuat berdasarkan prestasi semasa dan setiap pemain harus berusaha untuk meraih tempat dalam pasukan.

Katanya, skuad Harimau Selatan bukanlah pusat kebajikan sebaliknya ia sebuah kelab profesional yang sentiasa memburu kejuaraan setiap musim.

"Nak ajar saya 'manage' kelab, page-page (laman sosial) bola yang kononnya 'expert' pun sama. 'Loanlah' player, kalau nak 'loan' ke mana, 'transfer window' tutup.

"Oh minit permainan mustahak. Pergi 'join' PJ City FC. Setiap perlawanan dapat main. Dalam JDT siapa kerja keras dalam latihan dan menyerlah, dia akan main.

"Siapa nak cabaran dalam karier dan kejuaraan, datang ke JDT. Siapa nak minit permainan, sertai kelab lain. Takda orang paksa. Semua pilihan atas tangan pemain," katanya di laman sosial miliknya.

LUAHAN Syafiq Ahmad di laman sosial. FOTO Twitter
LUAHAN Syafiq Ahmad di laman sosial. FOTO Twitter

Terdahulu, tindakan Syafiq yang membuat hantaran di laman Twitter miliknya mengundang rasa berang Tunku Ismail selepas penyerang Harimau Malaya itu meluahkan keinginan untuk beraksi semula selepas dia dilihat lebih banyak memanaskan bangku simpanan pasukan.

"Seronok tengok kawan-kawan main bola" tulis bekas pemain Kedah itu yang kemudiannya mendapat perhatian peminat bola sepak tempatan.

Ujar Tunku Ismail lagi, prestasi Syafiq sudah jauh berbeza dan dia haris meningkatkan lagi tahap permainannya jika mahu tersenarai dalam pasukan.

"Selepas insiden peristiwa pahit, awak (syafiq) tidak seperti dahulu. Kami beri masa, beri sokongan dan monitor. Jikalau tidak puas hati atau setuju jumpa. Kita berbincang. Bukan tweet," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Ogos 2021 @ 1:11 PM