Oleh Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Pucuk pimpinan dan pengurusan tertinggi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak perlu tunduk dengan desakan mana-mana pihak yang hanya pandai mengkritik tanpa berfikir panjang.

Setiap kali pasukan bola sepak negara mengalami kekalahan di pentas antarabangsa pasti kedengaran komen negatif berbaur iri hati seolah-olah semua kesalahan perlu digalas oleh FAM secara mutlak.

Bekas pemain kebangsaan Datuk Jamal Nasir Ismail berkata, lebih memalukan kritikan pedas dilemparkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang seperti terlalu benci terhadap FAM.

Katanya, selaku menteri beliau sepatutnya menjadi orang tengah meredakan keadaan dan mencari jalan penyelesaian bagi memastikan kekeruhan yang berlaku tidak terus berlarutan bukan mengapi-apikan lagi keadaan.

Menurutnya, sejak episod pasukan Harimau Malaya tewas 0-10 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan kejadian rusuhan Ultras Malaya di Stadium Shah Alam, Selangor ketika bertemu Arab Saudi, pelbagai kritikan pedas dilemparkan.

“Saya yakin episod mengkritik FAM oleh Khairy Jamaluddin dilakukan kerana dua faktor, pertama kerana sifat dendam dan kedua inginkan individu tertentu menerajui kerusi nombor satu FAM.

“Kuasa yang dimiliki digunakan sepenuhnya untuk memburukkan FAM tanpa mengira maruah pihak lain yang berhempas-pulas untuk meletakkan badan induk bola sepak negara itu pada landasan sebenar.

“Saya malu dan kecewa dengan sikap Khairy Jamaluddin yang dilihat terlalu sombong dan riak dengan jawatan sebagai menteri hingga terlalu mudah menuding jari menyalahkan FAM tanpa berfikir secara profesional,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 September 2015 @ 5:41 AM