Stadium MPT mempunyai 9,283 tempat duduk. FOTO Ihsan Majlis Perbandaran Temerloh
Stadium MPT mempunyai 9,283 tempat duduk. FOTO Ihsan Majlis Perbandaran Temerloh
Asrol Awang


Kuantan: Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) memperuntukkan RM150,000 untuk menaik taraf Stadium MPT, Temerloh bagi menganjurkan perlawanan Liga Malaysia (Liga M), khususnya Liga Super yang dijadualkan bermula bulan depan.

Yang Dipertua MPT, Suris Mihat berkata, setakat ini tahap pencahayaan lampu limpah mencapai 100 peratus seperti yang ditetapkan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

"Bagi persiapan bilik video bantuan pengadil (VAR) dan bilik produksi, ia sudah mencapai 90 peratus manakala padang pula berada pada tahap 85 peratus.

"Mengenai pagar keselamatan pula, ia dalam pembaikan manakala kemudahan lain tiada masalah kerana memenuhi kehendak MFL termasuk pemasangan internet.

"Kita jangkakan sebelum saingan Liga M bermula membabitkan Sri Pahang FC, segalanya sudah sedia untuk memastikan Stadium MPT dapat menjadi tuan rumah buat skuad Tok Gajah dan menganjurkan perlawanan Liga M.

"Berdasarkan kapasiti penonton, Stadium MPT mempunyai 9,283 tempat duduk," katanya.

Berdasarkan perancangan, Stadium Darul Makmur yang menjadi gelanggang rasmi Sri Pahang akan ditutup bagi tempoh kira-kira enam bulan bagi menaik taraf rumput padang bermula Mei atau Jun depan.

Sebagai alternatif, Stadium MPT menjadi pilihan utama buat skuad kendalian Fandi Ahmad beraksi selaku gelanggang tuan rumah.

Baru-baru ini, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SPFC, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, perubahan gelanggang itu disebabkan kerja menaik taraf Stadium Darul Makmur, khususnya bagi menggantikan rumput padang.

"Setakat ini saya difahamkan kerajaan Pahang bersetuju Stadium Darul Makmur ditutup bagi kerja menaik taraf padang serta kemudahan lain termasuk lampu limpah.

"Pemilihan Stadium Temerloh dibuat kerana ia gelanggang kedua terbaik di Pahang," kata Mohammed Suffian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2024 @ 5:20 PM