Kemudahan tempat duduk Stadium MPT, Temerloh. FOTO Ihsan Majlis Perbandaran Temerloh
Kemudahan tempat duduk Stadium MPT, Temerloh. FOTO Ihsan Majlis Perbandaran Temerloh
Asrol Awang


Kuantan: Sebanyak 9,283 tempat duduk mampu memenuhi kapasiti penonton yang bakal menyaksikan perlawanan membabitkan Sri Pahang FC dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2024/2025 di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh (MPT), Temerloh.

Yang Dipertua MPT, Suris Mihat berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 2,384 tempat duduk di grandstand dan baki 6,899 tempat duduk pula membabitkan Zon A, B, C dan D.

"Dengan kapasiti 9,283 tempat duduk, ia diharap memberikan keselesaan kepada penonton, khususnya penyokong skuad Tok Gajah menyaksikan aksi pasukan kesayangan beraksi.

"Setakat ini, segala kemudahan daripada segi tempat duduk tiada masalah dan hanya memerlukan penambahbaikan sebelum saingan Liga M bermula bulan depan.

"Sebenarnya, MPT sedia dan memberikan yang terbaik untuk memastikan penonton yang datang ke stadium berasa selesa ketika menyaksikan perlawanan," katanya.

Sebagai persediaan, Stadium MPT yang menjadi gelanggang rasmi Sri Pahang musim baharu ini menyaksikan MPT memperuntukkan RM150,000 untuk menaik taraf stadium itu.

Setakat ini tahap pencahayaan lampu limpah mencapai 100 peratus seperti yang ditetapkan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Bagi persiapan bilik video bantuan pengadil (VAR) dan bilik produksi, Suris berkata, ia sudah mencapai 90 peratus manakala padang pula berada pada tahap 85 peratus.

"Mengenai pagar keselamatan pula, ia dalam pembaikan manakala kemudahan lain tiada masalah kerana memenuhi kehendak MFL termasuk pemasangan internet.

"Kita jangkakan sebelum saingan Liga M bermula membabitkan Sri Pahang FC, segala-galanya sudah sedia untuk memastikan Stadium MPT dapat menjadi tuan rumah buat skuad Tok Gajah dan menganjurkan perlawanan Liga M," katanya.

Berdasarkan perancangan, Stadium Darul Makmur yang menjadi gelanggang rasmi Sri Pahang akan ditutup bagi tempoh kira-kira enam bulan bagi menaik taraf rumput padang bermula Mei atau Jun depan.

Sebagai alternatif, Stadium MPT menjadi pilihan utama buat skuad kendalian Fandi Ahmad beraksi selaku gelanggang tuan rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2024 @ 6:12 PM