STADIUM Darul Makmur, Kuantan dijangka dinaif taraf Mei depan. FOTO ASROL AWANG
STADIUM Darul Makmur, Kuantan dijangka dinaif taraf Mei depan. FOTO ASROL AWANG
Asrol Awang


Kuantan: Stadium Majlis Perbandaran Temerloh (MPT), Temerloh sedia menganjurkan perlawanan Liga Malaysia (Liga M), khususnya Liga Super yang dijadualkan bermula Mei depan.

Yang Dipertua MPT, Surid Mihat berkata setakat ini, segalanya berjalan lancar terutama daripada segi padang dan lampu limpah bagi memenuhi kehendak Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

"Sebenarnya, pihak MFL ada mengadakan lawatan ke stadium baru-baru ini bagi melihat kemudahan dan penambahbaikan yang perlu dilakukan bagi membolehkan Stadium MPT menganjurkan perlawanan Liga M.

"Perbincangan turut diadakan bersama Kelab Bolasepak Sri Pahang (SPFC) untuk memastikan keadaan padang serta kemudahan lain pada tahap terbaik.

"Oleh itu sebelum perlawanan liga bermula, MPT akan memastikan segalanya mengikut perancangan," katanya.

Berdasarkan perancangan, Stadium Darul Makmur akan ditutup bagi tempoh kira-kira enam bulan bagi menaik taraf rumput padang bermula Mei atau Jun depan.

Sebagai alternatif, Stadium MPT menjadi pilihan utama buat skuad kendalian Fandi Ahmad beraksi selaku gelanggang tuan rumah. Stadium MPT, Temerloh mempunyai kapasiti kira-kira 10,000 penonton.

Baru-baru ini, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SPFC, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, perubahan gelanggang itu disebabkan kerja menaik taraf Stadium Darul Makmur, khususnya bagi menggantikan rumput padang.

"Setakat ini saya difahamkan kerajaan Pahang bersetuju Stadium Darul Makmur ditutup bagi kerja menaik taraf padang serta kemudahan lain termasuk lampu limpah.

"Pemilihan Stadium Temerloh dibuat kerana ia gelanggang kedua terbaik di Pahang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mac 2024 @ 4:22 PM