JURULATIH Barcelona, Xavi Hernandez. -FOTO AFP
JURULATIH Barcelona, Xavi Hernandez. -FOTO AFP
Agensi

Madrid: Menjelang pertembungan suku akhir kedua menentang Paris Saint-Germain, jurulatih Barcelona, Xavi Hernandez tidak mahu mengambil sebarang risiko.

Mereka yang kini mendahului dengan agregat 3-2 memilih untuk membuat sembilan pertukaran menentang Cadiz awal pagi tadi.

Joao Felix muncul wira apabila menjaringkan gol tunggal dalam kemenangan 1-0 di Nuevo Mirandilla.

Jumlah jaringan itu bukan ukuran namun yang penting adalah mendapat tiga mata.

Xavi gembira dan memuji barisan pemainnya di Andalusia.

"Felix adalah pemain yang sangat berbakat, ya. Dia tenang dan bermain dengan gembira. Dia bermain permainan yang hebat. Kami memberi dia sedikit kebebasan bergerak untuk mengeksploitasi bakatnya dan saya fikir dia melakukan dengan sangat baik. Gol itu dilakukannya sendiri."

Menjelang pertembungan dengan PSG, Barcelona hanya perlu mengelak kekalahan untuk menempah tempat ke separuh akhir Liga Juara-Juara.

Malah Xavi, 44, menyatakan keterujaannya untuk perlawanan itu.

"Kami akan turun perang pada hari Selasa (menentang PSG). Kami mahu melakukan sesuatu yang besar. Perlawanan itu datang semasa prestasi kami berada di tahap terbaik musim ini."

Sementara itu rembatan jarak jauh Aurelien Tchouameni memberikan pendahulu La Liga, Real Madrid kemenangan 1-0 ke atas Mallorca dan kekal lapan mata di depan Barcelona menjelang aksi Clasico.

Real melebarkan deretan tanpa kalah liga kepada 25 perlawanan, dan mengekalkan jurang selamat dengan Barcelona menjelang aksi Clasico di Madrid minggu depan.

"Ia kemenangan penting, yang meletakkan kami semakin hampir dengan gelaran. Kini tumpuan kami kepada aksi Rabu ini (awal pagi Khamis), kami perlukan rehat secukupnya," kata Ancelotti.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 April 2024 @ 12:11 PM