PASUKAN Barcelona mudah jinakkan Getafe. FOTO Agensi
PASUKAN Barcelona mudah jinakkan Getafe. FOTO Agensi
AFP

Madrid: Barcelona bimbingan Xavi memperagakan aksi terbaik apabila mudah menjinakkan Getafe 4-0 untuk mendaki carta LaLiga di tangga kedua, dengan Joao Felix dan Raphinha memainkan peranan besar di atas kemenangan itu.

Juara bertahan itu menolak Girona di tempat ketiga untuk mengumpul 57 mata daripada 26 aksi dilalui setakat ini.

Manakala pendahulu iaitu Real Madrid yang menghimpunkan 62 mata bakal turun menentang Sevilla dalam satu lagi aksi tumpuan LaLiga minggu ini.

"Kami tahu ruang mana untuk menyerang dan melancarkan serangan beberapa kali dan dari situlah gol datang. Ia adalah kemenangan yang memberikan kami sedikit lebih ketenangan," kata Xavi.

Penyerang kelahiran Brazil, Raphinha membuka tirai jaringan seawal minit ke-20 selepas dia menolak mudah untuk meletakkan pasukannya di depan.

Raphinha sekali lagi memainkan peranan untuk gol kedua yang dicetak oleh Felix di minit 53, selepas sebelum itu percubaan pemain Getafe hampir merobek gawang Barcelona.

Robert Lewandowski berjaya menggegar gawang lawan namun golnya dibatalkan kerana offside.

Lapan minit kemudian Barcelona menambah gol hasil jaringan Frenkie De Jong sebelum Fermin Lopez meledak gol keempat pada lewat permainan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Februari 2024 @ 11:45 AM