DIALLO dilayangkan kad kuning kedua daripada Brooks. FOTO Agensi
DIALLO dilayangkan kad kuning kedua daripada Brooks. FOTO Agensi
Agensi

London: Manchester United dan Brentford masing-masing kehilangan pemain akibat penggantungan menjelang aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) pada awal pagi Ahad ini.

Penyokong Red Devils perlu menunggu lebih lama untuk menyaksikan semula kelibat Amad Diallo selepas membantu United menewaskan Liverpool 4-3 dalam aksi suku akhir Piala FA.

Tindakan bintang antarabangsa Ivory Coast berusia 21 tahun itu meraikan jaringan kemenangan dengan menanggalkan jersi menerima padah apabila dilayangkan kad kuning kedua oleh pengadil John Brooks. Lima minit sebelum itu Diallo menerima kad kuning selepas mengasari Alexis Mac Allister.

Penggantungan satu perlawanan ke atas Diallo berkuatkuasa pada aksi domestik dan bukannya dalam kejohanan sama sekali gus dia boleh beraksi pada separuh akhir menentang Coventry City di Wembley bulan depan.

Dia menjaringkan gol di tempat lawan ketika menentang Sky Blues musim lalu ketika dipinjamkan ke Sunderland di Liga Kejuaraan.

Sementara itu, pengurus Brentford Thomas Frank turut ketiadaan Sergio Reguilon yang digantung satu perlawanan selepas menerima kad merah ketika pasukannya tewas 1-2 di tangan Burnley 16 Mac lalu.

Pemain pertahanan itu dipinjamkan ke Bees dari Tottenham selepas turut menjadi pemain pinjaman di United pada awal kempen musim ini.

Ketiadaan Reguilon akibat penggantungan bermakna dia tidak dapat menentang United, perlawanan yang tidak mahu dilepaskannya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mac 2024 @ 9:32 AM