REGUILON ambil alih posisi Shaw. FOTO Twitter
REGUILON ambil alih posisi Shaw. FOTO Twitter
Agensi

London: Sergio Reguilon melengkapkan ujian perubatan di Manchester United bagi menggantikan Luke Shaw yang mengalami kecederaan paha ketika Red Devils menentang Tottenham Hotspur pada 20 Ogos lalu.

Sejak itu Red Devils terpaksa menurunkan Diogo Dalot di bahagian pertahanan kiri untuk mengambil alih posisi Shaw.

Kelab dikaitkan dengan beberapa pilihan menggantikan Shaw antaranya pemain Chelsea Marc Cucurella dan pemain Tottenham Reguilon.

Menurut Fabrizio Romano, mereka mencapai persetujuan menandatangani Reguilon secara pinjaman untuk musim ini.

The Athletic menambah Reguilon sudah pun melengkapkan ujian perubatannya di Old Trafford dan United juga dilapor mempunyai 'klausa penebusan' dalam kontrak yang boleh diaktifkan pada Januari.

Pemain Sepanyol itu dijangka mengisi tempat Shaw dan Tyrell Malacia yang sedang menjalani proses pemulihan akibat kecederaan.

Shaw dibimbangi tersisih sehingga 10 minggu berdasarkan keadaan kecederaanya.

Reguilon, 26, menyertai Tottenham pada 2020 tetapi dipinjamkan ke Atletico Madrid musim lalu tetapi perpindahan itu tidak menjadi baginya selepas hanya tampil 11 perlawanan bersama kelab LaLiga terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 September 2023 @ 12:41 PM