REAKSI kecewa Casemiro yang dilayangkan kad merah. FOTO EPA
REAKSI kecewa Casemiro yang dilayangkan kad merah. FOTO EPA
Agensi

London: Manchester United tidak akan kemukakan rayuan penggantungan empat perlawanan yang dikenakan ke atas Casemiro selepas pemain itu dilayangkan kad merah ketika menentang Southampton hujung minggu lalu.

Ulang tayang video bantuan pengadil (VAR) mengesahkan Casemiro wajar menerima kad merah kerana terjahan berbahaya ke atas Carlos Alcaraz pada babak pertama perlawanan di Old Trafford itu.

Pengurus United, Erik ten Hag mempertikai keputusan itu selepas perlawanan dengan mendakwa terjahan yang dilakukan pemain berusia 31 tahun itu 'keras tetapi bersih' dan melabel keputusan itu sebagai 'boleh dipertikaikan'.

Bagaimanapun United mengesahkan tidak akan mengemukakan rayuan terhadap penggantungan pemain tengah itu kerana menganggap mereka tidak memiliki peluang besar untuk mengubah penggantungan itu.

Pemain Brazil itu turut dilayangkan kad merah ketika United menewaskan Crystal Palace 2-1 bulan lalu.

Layangan kad merah itu menjadikan Casemiro pemain pertama kelab berkenaan menerima dua kad merah dalam satu musim Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas Nemanja Vidic menerima nasib sama dalam kempen 2013/2014.

Kad merah keduanya dalam kempen kali ini menyaksikan Casemiro perlu menjalani penggantungan empat perlawanan domestik.

Dia bakal terlepas aksi suku akhir Piala FA menentang Fulham hujung minggu ini selain tiga aksi liga bertemu Newcastle United, Brentford dan Everton.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mac 2023 @ 6:36 PM