PEMAIN Harimau Malaya dilihat seolah tiada kesungguhan dalam permainan. FOTO AIZUDDIN SAAD
PEMAIN Harimau Malaya dilihat seolah tiada kesungguhan dalam permainan. FOTO AIZUDDIN SAAD
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Satu siasatan dalaman disarankan bagi mencari punca mengapa skuad Harimau Malaya tampil longlai dalam dua aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 apabila tumbang dua kali di tangan Oman, sekali gus memberi kesan kepada peluang pasukan untuk mara melepasi pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia.

Menurut bekas pemain negara, Wan Jamak Wan Hassan, pasukan beraksi di 'bawah par' atau di bawah kemampuan biasa dan seolah seperti ada yang tidak kena dalam kem pasukan.

Katanya, pemain dilihat seolah tiada kesungguhan dalam permainan hingga akhirnya membawa termasuk melepaskan dua gol mudah.

"Permainan tak capai tahap biasa. Pada malam itu (kelmarin), hanya beberapa pemain saja yang beraksi baik. Gol yang dilepaskan pun macam putus asa, macam ada sesuatu yang tak kena.

"Itu yang kita dapat lihat daripada reaksi pemain, kita boleh nampak kesungguhan itu macam tak ada, dan ia beza dengan Oman.

"Sebelum ini kita nampak persembahan pasukan bagus tapi kali ini nampak macam ada tak kenalah dalam pasukan. Jadi kita tak tahu (apa masalah), cuma secara fizikalnya yang kita boleh nampak pemain tak menunjukkan kesungguhan," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Wan Jamak yang juga bekas jurulatih skuad Harimau Malaya berkata lagi, pemilihan pemain oleh pengendali negara, Kim Pan-gon perlu dinilai semula.

"Lepas itu ada beberapa pemain yang saya lihat...bukan mereka tak bagus, tapi pemilihan pemain itu betul-betul kena tepat.

"Kadang-kadang tak perlu terlalu banyak pertukaran dibuat, bila terlalu banyak pertukaran mungkin menjejaskan rentak permainan. Kalau kita lihat senarai kesebelasan utama di sana (di Oman) dan di sini nampak banyak perbezaan.

"Ini perlawanan yang kita perlu cari kemenangan, jadi bila untuk cari kemenangan, kita perlu cari inti pati keserasian antara pemain dengan pemain. Secara keseluruhan itu pemain tidak menunjukkan tahap permainan yang sebenar," katanya.

Ujarnya Pan-gon masih mempunyai peluang perbaiki segala aspek kelemahan termasuk soal pemilihan pemain menjelang dua lagi baki aksi berdepan Kyrgyzstan dan Taiwan, Jun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mac 2024 @ 9:16 PM