BEKAS pengendali skuad Harimau Malaya, Wan Jamak Wan Hassan. -FOTO NSTP
BEKAS pengendali skuad Harimau Malaya, Wan Jamak Wan Hassan. -FOTO NSTP
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Bekas pengendali skuad Harimau Malaya, Wan Jamak Wan Hassan menegaskan aksi persahabatan menentang Syria bakal dijadikan medan terakhir sebelum Kim Pan-gon menemui kesebelasan utama 'impiannya' yang akan dipertaruhkan pada aksi pertama Piala Asia bertemu Jordan, pada 15 Januari ini.

Wan Jamak, 67, bekas pemain negara yang pernah beraksi di saingan Piala Asia pada 1980 di Kuwait akui aksi tertutup berdepan Syria pada malam esok itu harus digunakan sebaiknya bagi menguji tahap kemampuan pemain serta taktikal yang bakal digunakan nanti.

Katanya, setiap pemain perlu memanfaatkan peluang pada aksi persahabatan itu bagi menambat hati Pan-gon selain jurulatih dari Korea Selatan itu juga mungkin mahu menguji corak permainan pasukan.

"Sudah pastinya jurulatih akan melihat adakah pemain-pemain boleh mengimbangi setiap posisi dalam perlawanan pertama nanti. Pemain yang di bawa ke sana itu boleh dikatakan yang terbaik di Malaysia ketika ini.

"Mungkin pandangan sesetengah pihak perlawanan persahabatan itu apalah sangat, tapi pada saya perlawanan persahabatan ini mereka akan bermain seperti perlawanan sebenarnya.

"Kalau masa saya jurulatih dulu, kita mahu melihat kesungguhan pemain yang sebenarnya...kita nilaikan pemain itu adakah boleh dan layak apabila beraksi dalam perlawanan di kejohanan sebenar nanti.

"Jadi dalam hal ini, saya melihat dua perkara berbeza. Pemain itu sendiri mahu tunjukkan kepada jurulatih yang mereka layak berada dalam kesebelasan utama pada aksi pertama nanti.

"Kedua, di pihak barisan kejurulatihan mahu melihat corak taktikal ini adakah sesuai untuk lakukan pada perlawanan pertama nanti," katanya yang pernah melatih skuad Harimau Malaya dari 1996-1997 hingga membawa Malaysia muncul naib juara Piala Tiger (sekarang dikenali Piala AFF) pada 1996 di Singapura.

Selepas Arab Saudi membatalkan aksi persahabatan Tier 1 menentang Malaysia, skuad kendalian Pan-gon hanya akan mengharungi satu sahaja aksi ujian berdepan Syria yang akan dijalankan secara tertutup bagi menguji tahap kemampuan anak buahnya.

Di Piala Asia nanti, pasukan negara diletakkan dalam Kumpulan E dan akan memulakan kempen menentang Jordan sebelum meneruskan saingan bertemu Bahrain (20 Januari) dan Korea Selatan (25 Januari).

Wan Jamak turut menitipkan pesanan buat kesemua 26 pemain negara agar meletakkan kepentingan negara di tahap tertinggi mengatasi segala-galanya.

"Saya rasa setiap pemain mesti tunjukkan sikap dan jiwa mereka bahawa mereka rakyat Malaysia dan bermain untuk Malaysia. Tak kira lah sama ada dia pemain yang di Malaysiakan ke (naturalisasi), atau bukan lahir di Malaysia ke, semua itu saya tak kira.

"Masuk dalam padang semua pemain kena bersatu hati bawa negara Malaysia dan bangga Malaysia, di mana kita sudah berada di situ (layak ke Piala Asia)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 January 2024 @ 2:12 PM