KETUA jurulatih skuad Harimau Malaya Kim Pan-gon. -FOTO Ihsan FAM
KETUA jurulatih skuad Harimau Malaya Kim Pan-gon. -FOTO Ihsan FAM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Barisan penyerang 'kuda tua' masih menjadi pilihan kepada ketua jurulatih skuad Harimau Malaya Kim Pan-gon sekali gus menjadi tanda tanya penyokong bola sepak tanah air kemungkinan ketumpulan jentera serangan bakal menghantui pasukan Malaysia lagi.

Berdasarkan 29 pemain yang diumumkan baru-baru ini, ternyata Pan-gon berani menyenaraikan pemain berusia 36 tahun untuk mengemudi jentera serangan seperti Guilherme de Paula dan Norshahrul Idlan Talaha.

Hal ini secara tidak langsung menimbulkan persoalan ramai kerana kedua-dua pemain berkenaan dilihat kurang minit perlawanan selain bukannya dalam kesebelasan utama kelab masing-masing ketika ini.

Situasi terbabit diakui jurulatih berpengalaman Azraai Khor Abdullah yang melihat pemilihan kuda tua itu dianggap 'pelik' berikutan rekod pemain terbabit ketika ini kurang cemerlang.

Walaupun usia bukan gambaran sebenar prestasi pemain namun rekod terkini mereka menjadi sandaran supaya pemilihan mereka tidak akan berakhir dengan kekecewaan kelak.

"Usia cuma pada angka dan mungkin Pan-gon pilih Mat Yo (Norshahrul Idlan Talaha) disebabkan prestasinya kebelakangan ini bagus.

"Namun, pemilihan De Paula saya tidak faham kerana jika mahu pilih pemain mestilah ada minit permainan namun dia ini tak ada langsung.

"Mungkin pemilihan De Paula dipengaruhi oleh orang sekeliling beliau namun perlu berhati-hati kerana 'kimchi' tak jadi dan akhirnya beliau juga akan kena 'pancung'(pecat)," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu, Pan-gon membuat kejutan apabila menyenarai De Paula dalam 29 pemain untuk menjalani latihan sebagai persiapan mengharungi perlawanan Kelayakan Piala Asia.

Skuad negara dijadual memulakan kem latihan esok dengan dua aksi persahabatan bakal menanti sebelum turun beraksi dalam Kelayakan Piala Asia di Stadium Nasional Bukit Jalil, dari 8-14 Jun ini.

Pada pusingan kelayakan itu, Malaysia diletakkan dalam Kumpulan E bersama Turkmenistan, Bangladesh dan Bahrain.

Sementara itu, Azraai khor berkata, jika Pan-gon mahu memilih pemain berusia untuk mengemudi barisan depan pasukan negara terdapat ramai individu lain seperti penyerang Sabah FC Amri Yahyah dan Baddrol Bakhtiar boleh menggalas tanggungjawab terbabit.

"Pada saya mungkin Pan-gon sudah melakukan kerja rumah untuk memilih pemain berkenaan namun diharapkan jangan tersalah pilih kerana beliau yang akan menanggung akibatnya.

"Berikan beliau peluang dan ruang untuk membentuk pasukan Harimau Malaya manakala pihak lain tunggu serta lihat saja keputusannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mei 2022 @ 2:25 PM