SKUAD negara bimbingan Pan-gon pamer prestasi cemerlang sehingga kini. FOTO AIZUDDIN SAAD
SKUAD negara bimbingan Pan-gon pamer prestasi cemerlang sehingga kini. FOTO AIZUDDIN SAAD
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Skuad Harimau Malaya dilihat mempunyai peluang cerah untuk mencipta sensasi dalam pusingan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 selepas diundi dalam Kumpulan D yang dianggap seimbang dan setara.

Dalam undian itu, Malaysia diletakkan sekumpulan bersama pasukan di ranking 73 dunia, Oman; Kyrgyzstan (97 dunia) dan pemenang antara Taiwan (153 dunia) atau Timor Leste (192 dunia) yang akan beraksi terlebih dulu di pusingan pertama.

Skuad negara yang menghuni tangga 136 dunia ketika ini sedang melalui fasa kecemerlangan menerusi kemenangan demi kemenangan yang dilakar selain kejayaan layak secara merit ke Piala Asia di Qatar Januari depan.

Menurut bekas pemain kebangsaan yang juga bekas jurulatih skuad Harimau Malaya, Wan Jamak Wan Hassan, tidak mustahil anak buah Kim Pan-gon mampu melepasi peringkat kedua kelayakan untuk mara ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026, sekali gus menggenggam tiket ke Piala Asia 2027 lebih awal.

"Dengan apa yang ditunjukkan pemain negara ketika ini, saya lihat kita boleh pergi sampai pusingan ketiga dan layak ke Piala Asia.

"Pasukan sedang menunjukkan peningkatan yang amat baik di bawah tunjuk ajar Pan-gon. Walaupun bagi saya jurulatih belum bariskan skuad terkuat dalam beberapa perlawanan persahabatan, tapi kita tahu jurulatih sedang membina kelompok pemain yang ramai untuk dicuba.

"Walaupun kita ada menang sampai 10-0 baru-baru ini, saya anggap ia bukan skuad terkuat kita. Mungkin selepas jurulatih kenal pasti barisan pemain yang dimahukan, kita akan ada pasukan yang lebih mantap dan kita boleh pergi jauh dalam kelayakan ini," katanya ketika dihubungi.

Ditanya adakah skuad negara mampu layak ke Piala Dunia, Wan Jamak mahu semua pihak realistik dan memberi fokus terlebih dulu saingan di pusingan kedua itu.

"Kita kena faham, bila layak ke pusingan ketiga nanti tahap atau 'level' akan meningkat lebih tinggi lagi. Masa itu kita mungkin akan jumpa Jepun, Arab Saudi, Korea Selatan dan lain-lain.

"Jadi lebih baik kita fokus dulu pusingan kedua ini. Dalam bola sepak apa pun boleh berlaku asalkan kerja kuat setiap masa," katanya.

Berdasarkan format kelayakan Piala Dunia kali ini, benua Asia diberikan lapan slot berbanding hanya empat tiket pada saingan sebelum ini.

Penambahan slot itu membuka peluang bersaing merebut tempat beraksi di pentas tertinggi itu termasuk Malaysia yang tidak pernah layak ke Piala Dunia.

Jika skuad negara melepasi pusingan kedua, pasukan kebangsaan akan beraksi di pusingan ketiga bersama 17 pasukan lain yang akan dibahagikan kepada tiga kumpulan babitkan enam pasukan.

Juara dan naib juara akan layak secara automatik ke Piala Dunia, manakala pasukan di tangga ketiga dan keempat akan beraksi di pusingan keempat babitkan dua kumpulan, dengan juara sahaja akan dihadiahkan tiket ke pentas tertinggi itu.

Baki satu lagi slot pula akan ditentukan di pusingan kelima babitkan dua naib juara kumpulan pusingan keempat, di mana pemenang pertemuan itu akan meneruskan aksi kelayakan antara benua sebelum mara ke Piala Dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Julai 2023 @ 3:27 PM