SKUAD bimbingan Pan-gon bakal melalui dua aksi persahabatan di ibu negara. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
SKUAD bimbingan Pan-gon bakal melalui dua aksi persahabatan di ibu negara. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Bekas pemain Harimau Malaya era 80an, Khalid Ali menyifatkan aksi persahabatan menentang dua pasukan yang berada di ranking bawahan bukanlah standard pasukan yang sudah layak ke Piala Asia.

Jelas Khalid, Malaysia yang sudah layak secara merit ke Piala Asia di Qatar pada Januari 2024 nanti seharusnya mencari pasukan yang lebih tinggi bagi memantapkan pasukan negara.

Namun katanya, mungkin pengendali negara Kim Pan-gon mempunyai alasan tersendiri memilih pasukan Kemboja dan Maldives, namun baginya ia tidak akan banyak membantu meningkatkan permainan pasukan.

"Kita pasukan yang dah layak ke Piala Asia, sepatutnya cari pasukan yang lebih baik daripada kita. Kedudukan ranking adalah penanda aras yang menunjukkan kekuatan pasukan, jadi patutnya cari ranking lebih baik sikit.

"Mungkin Pan-gon ada sebab-sebabnya, termasuk saya fikir ia hanya sebagai perlawanan latihan saja buat pasukan sebelum ke Piala AFF nanti.

"Mungkin beliau juga mahu menguji pemain-pemain baharu atau mahu menguji taktikal baharu yang ingin diterapkan dalam pasukan, oleh sebab itu cari pasukan yang ranking rendah.

"Tapi sekali lagi, saya harap lepas ini carilah pasukan yang tinggi supaya kita dapat tingkatkan permainan, kalah tak mengapa sebab pemain akan belajar sesuatu daripada pasukan yang kuat. Tapi kalau kita kalah dengan pasukan yang lemah, memang akan mengundang kritikan penyokong nanti," katanya ketika dihubungi.

Nada sama turut diluahkan bekas pemain negara era 60an dan awal 70an, Datuk M Karathu, yang bimbang dua perlawanan persahabatan berkenaan akan 'menjerat' pasukan.

"Saya fikir, mungkin pasukan negara mahu lawan pasukan di ranking tinggi tapi tak ada siapa yang mahu lawan sebab masa itu Piala Dunia (di Qatar) sedang berjalan.

"Tapi pendapat saya, patut kita kena cari lawan yang tinggi sikit seperti Thailand. Itu hari (Piala Raja Thai, pada September lalu), saya lihat kita main sangat baik dan di situ pemain boleh meningkat dan juga keyakinan makin bertambah.

"Daripada lawan pasukan ranking rendah baik kita lawan kelab dalam Liga Malaysia saja. Atau sepatutnya, daripada dua perlawanan itu, satu pasukan lemah dan satu lagi lawan dengan pasukan kuat.

"Bila kita lawan pasukan lemah, jurulatih boleh bagi peluang kepada pemain. Selepas itu, lawan dengan pasukan kuat supaya jurulatih boleh lihat peningkatan daripada perlawanan pertama," kata Karathu.

Semalam, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan dua pasukan yang menduduki ranking di bawah Harimau Malaya bakal menguji skuad bimbingan Pan-gon dalam dua aksi persahabatan Tier 1 sebagai persiapan awal sebelum melangkah ke saingan Piala AFF pada hujung Disember ini.

Pasukan kebangsaan Kemboja dan skuad bola sepak Maldives, masing-masing di ranking 177 dan 154 dipilih dengan kedua-dua perlawanan itu bakal berlangsung di Kuala Lumpur, ketika ranking Malaysia meningkat ke 146 dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Oktober 2022 @ 6:06 PM