PEMAIN negara meraikan jaringan ketika menentang Papua New Guinea.
PEMAIN negara meraikan jaringan ketika menentang Papua New Guinea.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Sentuhan 'K-Pop' benar-benar menjadi buat skuad Harimau Malaya apabila dalam 21 aksi di bawah kendalian Kim Pan-gon, pasukan negara berjaya melakar 15 kemenangan, dua seri dan hanya tewas empat kali.

Berdasarkan peratusan, ia menunjukkan pasukan berjaya mencatat 71 peratus (%) kemenangan daripada jumlah 21 perlawanan dilalui sejak Pan-gon mengambil alih pada Mac 2022 tahun lalu.

Nyata, sentuhan jurulatih dari Korea Selatan itu amat sesuai dan mudah diikuti pemain negara ketika ini hingga prestasi pasukan juga dilihat memuncak ke tahap membanggakan.

Kedudukan ranking juga bertambah baik daripada 154 dunia naik ke 138 ketika ini. Situasi itu jelas menunjukkan perubahan ketara dalam pasukan negara, termasuk daripada segi corak permainan, sikap dan penerapan mentaliti kemenangan dalam kalangan pemain.

Perkara itu diakui penganalisis dan pemerhati bola sepak tempatan, Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim yang mengakui pasukan negara kini berada di landasan tepat untuk berkembang menjadi antara pasukan terkuat di rantau ini.

"Berdasarkan perlawanan dilalui, memang nampak peningkatan yang ketara dalam permainan skuad negara. Ini jelas menunjukkan pemain amat selesa dengan pendekatan dibawa Pan-gon dalam pasukan ketika ini.

"Malah, kemenangan demi kemenangan diraih bukan saja menaikkan motivasi pemain, bahkan ia meningkatkan ranking kita. Tapi bagi saya, untuk kita mengukur kemampuan sebenar pasukan adalah di Piala Asia di Qatar tahun depan. Di situ baru kita boleh menilai semula dan melihat di manakah tahap kita di Asia," katanya yang juga Pensyarah Kanan Sains Kejurulatihan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Bagi bekas pemain kebangsaan dan jurulatih berpengalaman, Datuk M Karathu pula, beliau memuji sikap pemain yang dilihat lebih fokus dalam aspek permainan dengan tidak lagi melakukan kesilapan mudah seperti sebelum ini.

Jelasnya lagi, pasukan negara juga perlu memilih untuk berdepan pasukan di ranking lebih tinggi, dalam kelompok 100 terbaik dunia berbanding lawan yang setara dengan Harimau Malaya.

"Saya akui ada perubahan dibawa jurulatih Korea Selatan itu, pemain ada tunjukan kesungguhan dan ada mentaliti untuk menang yang tinggi. Tapi kalau boleh selepas ini kita kena cari satu pasukan dan satu pasukan biasa-biasa untuk menjadi lawan kita dalam perlawanan persahabatan.

"Kita tak boleh ambil dua perlawanan dengan pasukan sama tahap dengan kita. Kepulauan Soloman dan Papua New Guinea lebih kurang kita saja, tapi kita patut lawan dengan negara kuat. Dari situ baru kita boleh tengok tahap kita di tahap mana," kata Karathu.

Terdahulu, Malaysia terus mencatat kemenangan dalam siri aksi antarabangsa apabila terbaharu menjadikan Kepulauan Solomon dan Papua New Guinea mangsa belasahan.

Dalam dua aksi itu, Harimau Malaya membenam Kepulauan Solomon 4-1 dan membelasah Papua New Guinea 10-0. Kedua-dua aksi itu sebahagian daripada persediaan ke Piala Asia Januari depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Jun 2023 @ 6:28 PM