DARREN (kiri) berkata beberapa kelemahan sudah dikenal pasti dan persiapan lebih baik akan dilakukan selepas ini. FOTO Bernama
DARREN (kiri) berkata beberapa kelemahan sudah dikenal pasti dan persiapan lebih baik akan dilakukan selepas ini. FOTO Bernama
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Penyerang skuad Harimau Malaya, Darren Lok mahu menutup buku lama dan membuka lembaran baru selepas aksi dengan Oman, kelmarin.

Jelasnya, kekalahan 0-2 di tangan skuad The Reds itu perlu dilupakan segera dan rakan sepasukannya perlu mengalih tumpuan untuk dua baki aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada Jun nanti.

Katanya, beberapa kelemahan sudah dikenal pasti dan persiapan lebih baik akan dilakukan selepas ini.

"Kami banyak mengawal dan menguasai bola semasa perlawanan, cuma sedikit bergelut untuk mendapatkan peluang menjaringkan gol kerana dikawal ketat oleh pemain pertahanan Oman.

"Kemudian serangan balas dari pemainnya yang cukup baik untuk menghukum kami. Kami datang bermain ketika sesi pramusim masih lagi berjalan.

"Tanpa perlawanan kompetitif tetapi kami cuba membuat persediaan yang baik, para jurulatih juga membantu menyiapkan kami dan semua dalam pasukan berlatih bersungguh-sungguh tetapi ia bukanlah malam kami," katanya selepas perlawanan dengan Oman, kelmarin.

Selepas ini, skuad negara akan meneruskan kempen kelayakan dengan menentang Kyrgyzstan di Bishkek pada 6 Jun sebelum melayan kunjungan Taiwan di Bukit Jalil lima hari kemudian.

Susulan tewas dua kali di tangan Oman, Malaysia kini menghuni tangga ketiga Kumpulan D dengan mengutip enam mata daripada empat aksi dilalui setakat ini.

Peluang untuk mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia masih ada, dengan syarat perlu mengutip enam mata maksimum dalam baki dua aksi selepas ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mac 2024 @ 4:53 PM