SAFAWI (kiri) percaya Harimau Malaya mampu mencuri sekurang-kurangnya satu mata menentang Oman. FOTO ARKIB NSTP
SAFAWI (kiri) percaya Harimau Malaya mampu mencuri sekurang-kurangnya satu mata menentang Oman. FOTO ARKIB NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pemain sayap skuad Harimau Malaya, Safawi Rasid melihat pasukan kebangsaan tidak lagi seperti dahulu dan dijangka mampu meraih keputusan positif dalam dua aksi Kumpulan D kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Oman, bulan depan.

Tonggak berusia 26 tahun itu berkata, skuad kendalian Kim Pan-gon mempamerkan peningkatan dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini termasuklah mempunyai barisan pemain mantap dalam mengharungi kejohanan atau perlawanan antarabangsa.

Safawi yang kemungkinan menyarung jersi Terengganu FC (TFC) untuk musim 2024/2025 berkata, skuad Harimau Malaya tidak akan berdepan masalah untuk mencuri sekurang-kurangnya satu mata dalam dua pertemuan menentang pasukan yang berada di ranking ke-74 dunia itu kelak.

"Sejak perlawanan Piala Asia 2023 di Doha tempoh hari, skuad Harimau Malaya boleh dikatakan tampil lebih matang dan berpengalaman berhadapan pasukan Asia Tengah seperti Oman.

"Di bawah kendalian Pan-gon, pemain menunjukkan peningkatan membabitkan corak permainan dan tidak mustahil kita boleh meraih keputusan positif bertemu Oman.

"Ketika ini, Harimau Malaya berada dalam kondisi atau momentum terbaik. Saya mengharapkan sokongan daripada penyokong untuk membantu pasukan kebangsaan melangkah ke pusingan seterusnya pada kempen kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027," katanya.

Harimau Malaya terlebih dahulu akan berkunjung ke Muscat, Oman pada 22 Mac ini sebelum melayan kunjungan skuad Red Demons di Kuala Lumpur, empat hari kemudian.

Keputusan dalam dua aksi berdepan Oman itu bakal mempengaruhi peluang buat Harimau Malaya menempah tiket awal ke pusingan akhir Piala Asia 2027 di Arab Saudi.

Juara dan naib juara kumpulan akan meraih slot ke Piala Asia 2027 dan melangkah ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026.

Ketika ini, skuad Harimau Malaya yang berada di tangga ke-130 dunia memimpin Kumpulan D, mendahului dua pasukan ranking lebih tinggi, Oman (74) dan dan Kyrgyzstan (98) yang berkongsi tiga mata, manakala Taiwan (154) di kedudukan tercorot tanpa sebarang mata.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Februari 2024 @ 3:50 PM