SKUAD negara lakar kemenangan ke atas Thailand pada perlawanan pertama. FOTO MAJLIS OLIMPIK MALAYSIA
SKUAD negara lakar kemenangan ke atas Thailand pada perlawanan pertama. FOTO MAJLIS OLIMPIK MALAYSIA
Syafiq Aznan


Hangzhou: 'Permulaan impian' yang dilakar skuad hoki negara pada kempen Sukan Asia 2022 dengan membelasah Thailand 9-0 tidak seharusnya membuatkan pemain hoki negara berada di 'awang-awangan'.

Pengendali 'Malaysian Tigers', Arul Selvaraj mengingatkan masih ada beberapa perkara yang dilihat belum berada pada tahap yang dimahukan selepas selesai aksi pertama semalam dengan peningkatan perlu ditunjukkan apabila turun berdepan Oman, esok.

"Kita tahu ia adalah perlawanan pertama dan semua pemain begitu bersungguh untuk bermain. Tetapi ada lagi kelemahan yang perlu kita perbaiki," kata Arul.

Dalam masa sama, Arul juga turut 'mengintip' pasukan lawan bagi mendapatkan sedikit sebanyak gambaran mengenai Oman sebelum mengatur strategi terbaik bagi memastikan tiga mata berada dalam genggaman mereka.

"Apapun, lebih penting adalah untuk kita memberi lebih banyak tumpuan kepada persiapan pasukan kita sendiri, bagaimana cara kita bermain, disiplin serta konsep apabila di atas padang.

"Kita akan fokus kepada pasukan kita sahaja," katanya dengan aksi berdepan Oman itu akan berlangsung di Stadium Gongshu Sport Canal Park.

Berdasarkan ranking, Oman boleh dianggap pasukan yang lebih baik apabila berada pada kedudukan ke-27 dunia berbanding Thailand yang menghuni ranking ke-54 dunia ketika ini.

Namun dengan status Malaysia sebagai pasukan dalam kelompok 10 terbaik dunia dan kedua terbaik di Asia, mereka seharusnya tidak berdepan masalah untuk mengutip tiga lagi mata ke atas Oman.

Malaysia memenangi tiga pertemuan terakhir menentang Oman dengan pertembungan terakhir menyaksikan skuad negara membelasah lawan 7-0 pada pusingan awal Piala Asia 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 September 2023 @ 5:59 PM