DORIVAL berdepan tugas berat menentang England.
DORIVAL berdepan tugas berat menentang England.
Agensi

London: Brazil berharap aksi persahabatan berprestij menentang England pada Ahad ini menjadi pencetus kebangkitan juara dunia lima kali itu.

Brazil berdepan tempoh 15 bulan yang hambar sejak tewas di tangan Croatia pada suku akhir Piala Dunia di Qatar menyebabkan pengendali Tite meletak jawatan.

Mereka mengalami kekalahan mengejut susulan prestasi buruk, gagal menarik minat Carlo Ancelotti untuk meninggalkan Real Madrid dan selepas sekian lama menilai calon, Brazil melantik Dorival Junior yang bakal diuji kali pertama di Stadium Wembley.

Dorival adalah pilihan ketiga mengendalikan Brazil sejak pengunduran Tite. Pada awalnya, tugas itu diberikan sementara kepada Ramon Menezes yang menjadi jurulatih skuad B-20 dan B-23.

Menezes mengendalikan Brazil dalam tiga aksi persahabatan termasuk kekalahan kepada Maghribi dan Senegal.

Presiden Persekutuan Bolasepak Brazil (CBF) lebih meminati Ancelotti dan berjanji pengendali itu akan dibawa masuk sebaik kontraknya dengan Real Madrid berakhir 2024 sebelum Copa bermula pada Jun di Amerika Syarikat.

Ketika menunggu jawapan legenda Itali itu, Brazil melantik Fernando Diniz selain tugasnya sebagai ketua jurulatih Fluminense.

Diniz menjanjikan permulaan meyakinkan selepas membuka kempen kelayakan Piala Dunia dengan kemenangan 5-1 keatas Bolivia dan kemudiannya menewaskan Peru 1-0.

Namun Brazil gagal mengekalkan momentum dalam empat perlawanan selepas itu apabila seri dengan Venezuela dan tewas di tangan Uruguay dan Colombia.

Melengkapkan episod duka itu ialah kekalahan 0-1 di tangan Argentina di Maracana yang meletakkan Brazil di tangga ketujuh dalam kumpulan kelayakan dengan hanya tujuh mata.

Kini masa depan Brazil bergantung kepada Dorival, 61, yang berdepan cabaran terbesar dalam kariernya untuk memulihkan semula reputasi juara dunia lima kali itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mac 2024 @ 9:00 AM