ANCELOTTI masih memiliki baki kontrak selama setahun dengan Real Madrid. FOTO AFP
ANCELOTTI masih memiliki baki kontrak selama setahun dengan Real Madrid. FOTO AFP
AFP

Sao Paulo: Jurulatih dari Itali yang kini membimbing Real Madrid, Carlo Ancelotti akan menjadi ketua jurulatih skuad kebangsaan Brazil bagi Copa America 2024, kata sumber di Persekutuan Bolasepak Brazil (CBF) kepada AFP.

Terdahulu, CBF memaklumkan pengendali Fluminense, Fernando Diniz akan membimbing pasukan sebagai jurulatih sementara.

Ancelotti memiliki baki semusim lagi dalam kontraknya di Real dan akan membimbing Brazil untuk Copa America yang akan diadakan di Amerika Syarikat (AS) bermula Jun 2024.

Bekas pengurus AC Milan dan Chelsea itu akan menjadi jurulatih luar pertama membimbing Brazil dalam tempoh hampir 60 tahun.

Kali terakhir jurulatih luar yang membimbing Brazil adalah Filpo Nunez dari Argentina, yang mengendalikan satu perlawanan pada 1965.

Ancelotti, 65, mengecapi pelbagai kejayaan termasuk gelaran Liga Juara-Juara Eropah (UCL) sebanyak dua kali bersama AC Milan dan Real Madrid.

Dia turut menang gelaran domestik di England bersama Chelsea, di Jerman bersama Bayern Munich dan di Perancis bersama Paris Saint-Germain, selain bersama Real dan Milan.

Brazil dibimbing oleh Tite di Piala Dunia Qatar, tahun lalu, tetapi dia meletak jawatan selepas pasukan itu tewas di tangan Croatia di suku akhir.

Sejak itu, Ramon Menezes dilantik sebagai pengendali sementara pasukan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Julai 2023 @ 11:01 AM