AKSI pemain negara ketika menentang China. FOTO FAM
AKSI pemain negara ketika menentang China. FOTO FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Skuad bawah 23 (B-23) tahun negara meraih pengalaman berguna menjelang kempen sebenar saingan Piala Asia B-23 di Doha, Qatar bermula 17 April ini.

Ia selepas skuad B-23 kendalian Juan Torres Garrido itu tumbang tipis 1-2 di tangan skuad B-23 China dalam aksi pemanas badan di Doha, awal pagi tadi.

Walaupun tewas, ia sekurang-kurangnya memberi peluang buat Garrido mengesan sebarang kelemahan sebelum turun membuka tirai aksi Kumpulan D menentang Uzbekistan pada 17 April nanti.

Malah dalam aksi itu, dua gol yang dijaringkan lawan hanyalah menerusi dua sepakan penalti sekali gus menandakan skuad Harimau Muda negara itu berkemampuan memberi cabaran dalam saingan sebenar nanti.

Dalam aksi persahabatan tertutup itu, China terlebih dulu mendahului menerusi sepakan penalti Aifeierding Aisikaer pada minit 26 bagi menutup separuh masa pertama dengan kelebihan satu gol di depan.

Bersambung aksi di babak kedua, skuad muda negara berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-61 menerusi penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT), Fergus Tierney.

Malaysia bagaimanapun terpaksa akur apabila pengadil perlawanan sekali lagi menghadiahkan sepakan penalti buat pasukan lawan.

Pada minit ke-85 permainan, Aisikaer sekali lagi mudah menyempurnakan sepakan penalti untuk gol kemenangan pasukannya.

Selepas ini, anak didik Garrido akan turun dalam satu lagi aksi persahabatan menentang pasukan tuan rumah, Qatar yang dijadual berlangsung Ahad ini dan ia adalah aksi pemanas badan terakhir.

Selain Uzbekistan yang akan ditemui pada perlawanan pertama, Malaysia akan bertemu Vietnam dalam aksi kedua (20 April) sebelum berdepan Kuwait (23 April) di perlawanan terakhir kumpulan.

Dua pasukan terbaik daripada setiap empat kumpulan akan meraih tiket ke suku akhir. Tiga pasukan terbaik di Piala Asia B-23 ini akan menggenggam tiga tiket automatik ke Sukan Olimpik Paris, Jun ini.

Sementara pasukan di tangga keempat akan mengharungi aksi playoff menentang pasukan keempat dari benua Afrika, Guinea.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 April 2024 @ 2:21 PM