NOOA bakal memperkuatkan jentera tengah Selangor FC. FOTO SELANGOR FC
NOOA bakal memperkuatkan jentera tengah Selangor FC. FOTO SELANGOR FC
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pasukan Selangor FC semakin padu dalam mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini apabila mengumumkan kemasukan pemain baharu, Nooa Hamzah Laine.

Pemain berdarah campuran Finland-Malaysia yang lebih dikenali sebagai Nooa itu akan beraksi secara pemain pinjaman dalam tempoh setahun (dengan pilihan untuk dibeli secara tetap) bagi menghadapi saingan musim 2024/2025.

Berdasarkan kenyataan media, Selangor FC memaklumkan kehadiran Nooa akan memperkuatkan jentera tengah pasukan Gergasi Merah itu.

"Nooa Laine adalah pemain baru kelima diperkenalkan untuk membarisi skuad utama selepas Selangor FC memperkenalkan pemain pertahanan, Umarbek Eshmurodov; penyerang Chile, Ronnie Fernández; pemain sayap, Alvin Fortes dan penjaga gawang muda, Azim Al Amin, baru-baru ini," menurut kenyataan terbabit.

Perjalanan Nooa dalam kancah bola sepak profesional bermula di Ykkonen, divisyen kedua Liga Finland bersama kelab tempat kelahirannya, Jyvaskylan Jalkapalloklubi atau lebih dikenali sebagai JJK Jyvaskyla pada 2018.

Pemain berusia 21 tahun itu membuat 15 penampilan dan menjaringkan satu gol dalam tahun pertama karier profesionalnya.

Nooa diserap naik ke pasukan utama Seinajoen Jalkapallokerho, atau lebih dikenali sebagai SJK Seinajoki selepas beraksi dalam 16 perlawanan bersama skuad pembangunan kelab itu.

Karier pemain tengah ini terus meningkat naik selepas mendapat peluang beraksi sebanyak 64 perlawanan dengan empat jaringan gol bersama SJK Seinajoki di Veikkausliiga, divisyen 1 Liga Finland selama tiga musim dari 2021 sehingga 2023.

Pada 2022, dia menerima panggilan kebangsaan dan membantu skuad Bawah 23 Tahun (B23) Malaysia layak ke Piala Asia B23 di Qatar, April depan.

Menerusi pengumuman itu akhirnya terungkai pemain kacukan kebangsaan yang bakal menyarung jersi skuad kendalian Tan Cheng Hoe musim ini.

Ini kerana, terdapat kenyataan memaklumkan Johor Darul Ta'zim (JDT) menolak tawaran ejen pemain itu sebelum disambar Selangor FC.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Februari 2024 @ 4:24 PM