MALONEY (kiri) pada sesi latihan hari ini. FOTO FAM
MALONEY (kiri) pada sesi latihan hari ini. FOTO FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Skuad bawah 23 (B-23) tahun negara sedia 'salin kulit' jika ada mana-mana pemain khususnya bintang muda dari kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) sedia memperkuatkan skuad Harimau Muda itu.

Antara pemain yang dilihat boleh membantu pasukan kendalian Brad Maloney di saingan Piala Asia B-23 di Uzbekistan pada bulan depan adalah tonggak tengah JDT, Nathaniel Shio Hong Wan serta Muhammad Ramadhan Saifullah.

Sudah pasti kehadiran Hong Wan yang juga bekas pemain kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Wolverhampton Wanderers mampu memperkuatkan jentera tengah negara terutama ketika bertahan.

Malah, kelincahan Ramadhan di bahagian sayap juga dilihat mampu memberi kekuatan tambahan serta tambahan pilihan buat Maloney yang bakal menempuh halangan berliku di Uzbekistan, di mana Malaysia diletakkan sekumpulan dengan Korea Selatan, Thailand dan Vietnam dalam Kumpulan C.

Jelas Maloney, pintu sentiasa terbuka buat pemain berkenaan namun ia bergantung kepada kesediaan mereka, ketika beliau juga sebenarnya sudah berpuas hati dengan skuad yang ada ketika ini.

"Kita sentiasa melihat pemain terbaik yang 'available' dalam pasukan Sukan Sea dan pintu sentiasa terbuka untuk pemain baru, dan kita akan buat keputusan sebelum kita berangkat (ke Uzbekistan) Jumaat ini…dan kita cuba sediakan pasukan terbaik.

"Jika pemain itu 'available', pintu sentiasa terbuka. Tapi pemain yang ada sekarang juga sudah bersama pasukan agak lama, dan sudah berusaha sepanjang persiapan sebelum ini dan berhak diberi peluang.

"Tapi jika ada pemain lain yang menyertai latihan dan pemilihan, apa salahnya untuk pertimbangkan," katanya yang kembali mengumpulkan pasukan selepas diberi cuti rehat selama dua hari selepas pulang daripada saingan Sukan Sea di Hanoi, Vietnam, Isnin lalu.

Ditanya pula tentang status pemain kacukan Malaysia-Finland, Nooa Laine, jurulatih dari Australia itu mengakui terpaksa melupakan khidmat penyerang kelab divisyen satu Finland, SJK Seinajoki itu.

Ia susulan masalah dokumentasi yang masih belum selesai sekali gus tidak dapat membawanya beraksi di Piala Asia.

"Nooa menunjukkan prestasi yang baik dalam latihan sebelum ini, tetapi kita masih lagi perlu menanti dokumentasinya seperti pasport yang memerlukan masa.

"Pasukan berada dalam keadaan seimbang dan saya sedia beri peluang, tetapi disebabkan masalah dokumentasi yang perlukan masa, kami terpaksa pergi tanpa khidmatnya. Tapi dia memang berjaya menambat perhatian kami dalam kem latihan sebelum ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mei 2022 @ 9:13 PM