LAINE (kanan) ketika sesi latihan skuad kebangsaan di  Stadium Sultan Ibrahim. FOTO FAM
LAINE (kanan) ketika sesi latihan skuad kebangsaan di Stadium Sultan Ibrahim. FOTO FAM
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Pemain warisan Malaysia-Finland, Nooa Laine menyifatkan penyertaannya menjalani latihan bersama skuad Harimau Malaya bagi persiapan menjelang aksi persahabatan antarabangsa tier-1 menentang Turkmenistan dan Hong Kong di Stadium Sultan Ibrahim pada Khamis ini dan Selasa depan adalah satu penghormatan.

Katanya, untuk merebut tempat dalam skuad utama tampak sukar, tapi akan mencuba sedaya upaya memikat hati pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon dengan persembahan agresif dan konsisten sepanjang latihan.

"Sudah tentu saya bangga menjalani latihan bersama skuad kebangsaan buat kali pertama dan cuba beri yang terbaik sepanjang latihan malah pemain lain saya anggap seperti abang banyak membantu dan mereka kerap berkomunikasi dengan saya.

"Jika ada rezeki saya akan berada dalam skuad, tapi saya mahu menjadi pemain penting untuk Harimau Malaya pada masa hadapan, lagipun saya baru berusia 20 tahun dan perlu timba pengalaman di samping mahu sentiasa konsisten pada sesi latihan.

"Saya juga mahu menunjukkan nilai pada diri saya dan dari situ membantu pasukan kebangsaan dan ketika ini saya masih mengadaptasi corak permainan Harimau Malaya," katanya.

Ketika ini, Laine menandatangani kontrak untuk menyertai kelab SJK Seinajoki yang beraksi di Liga Divisyen 1 Finland sehingga musim 2024.

Dia memulakan karier sebagai pemain bola sepak di kelab JJK Jyvaskyla dan membuat penampilan sulung di Liga Divisyen 2 Finland pada usia 15 tahun pada musim 2018 malah berjaya menjaring satu gol dalam 15 penampilan.

Laine juga berazam membantu posisi tengah yang dilihat perlu dimantapkan seandai dipilih dalam kesebelasan utama menentang Turkmenistan atau Hong Kong pada aksi persahabatan antarabangsa malah mahu membuktikan panggilan ke skuad Harimau Malaya berbaloi buat pasukan itu.

Ditanya sama ada dia membuat kajian mengenai tahap permainan bola sepak di negara ini, Laine mengakui tidak begitu mengenali corak permainan diterap kerana tidak memiliki pengalaman beraksi di dalam mana-mana pasukan yang beraksi di Liga Malaysia (Liga M).

"Tidak dinafikan ketika menjalani latihan, saya perhatikan pemain yang turut bersama pada sesi latihan tampak berkualiti dan hebat tapi gaya permainan agak berbeza dengan di Finland yang lebih teknikal berbanding di sini gaya permainan lebih 'straight forward'.

"'Apapun, saya harus menyesuaikan diri dengan corak taktikal dan teknikal yang diterapkan jurulatih dan kena pantas mengenali corak permainan rakan lain," kata anak Faried Baharin yang juga penduduk asal Kampung Batu Laut, Tanjung Sepat, Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mac 2023 @ 4:48 PM