KEPULAN asap tebal bawa tuah buat Ronaldo. FOTO Agensi
KEPULAN asap tebal bawa tuah buat Ronaldo. FOTO Agensi
AFP

Riyadh, Arab Saudi: Kepulan asap tebal membawa tuah buat Cristiano Ronaldo apabila ledakan padunya gagal di lihat bagi membantu Al-Nassr menang 4-3 mengatasi Al-Ahli dalam aksi Liga Pro Saudi, awal pagi tadi.

Dalam aksi itu, Ronaldo memanfaatkan peluang mencetak nama selepas kawasan gawang Al-Ahli diliputi kepulan asap yang sama sekali menghalang penglihatan penjaga gol.

Bekas pemain Real Madrid itu nyata bijak mengambil kesempatan itu dengan meledak gol seawal minit keempat sebelum Talisca menambah jaringan kedua di minit 17.

Lawan yang diperkuatkan kehadiran Roberto Firmino, Riyad Mahrez dan Allan Saint-Maximin tidak mengalah apabila membalas menerusi Franck Kessie sebelum Talisca melebarkan kembali jurang kepada 3-1 untuk menamatkan separuh masa pertama memihak tuan rumah.

Memasuki babak kedua, Mahrez memanfaatkan sepakan penalti di minit 50 namun Ronaldo kembali menjarakkan kedudukan dua minit kemudian sebelum Feras Albrikan menyumbat gol ketiga pelawat di hujung permainan.

Begitupun jaringan itu tidak dapat menghalang Ronaldo dan rakan sepasukannya memungut tiga mata penuh dengan 15 mata dan kekal sebagai pencabar kejuaraan liga, di mana hanya dibezakan tiga mata daripada pendahulu AL-Ittihad selepas mengharungi tujuh aksi setakat ini.

Al-Ittihad merampas tangga teratas kelmarin daripada kelab baharu Neymar, Al-Hilal selepas menundukkan Al-Fateh 2-1 menerusi satu gol dan satu umpanan gol N'Golo Kante.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 September 2023 @ 11:52 AM