MESSI dan Ronaldo. FOTO Agensi
MESSI dan Ronaldo. FOTO Agensi
Agensi

Riyadh: Hajat ribuan peminat untuk menyaksikan pertembungan 'impian' antara dua bintang bola sepak dunia Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi tidak kesampaian.

Aksi persahabatan babitkan kelab masing-masing, Al-Nassr bertemu Inter Miami di Kingdom Arena, Riyadh awal pagi esok terpaksa diadakan tanpa kelibat Ronaldo.

Pengendali Al-Nassr, Luis Castro mengesahkan pemain kebangsaan Portugal itu mengalami cedera di bahagian betis.

"Kita tidak akan dapat melihat aksi Messi menentang Ronaldo. Ronaldo di fasa terakhir pemulihan untuk menyertai pasukan.

"Dia tidak akan bersama dalam perlawanan ini. Kami tetap akan menurukan skuad terbaik bagi menghadapi Messi dan Inter Miami," kata Castro.

Baru-baru ini Al-Nassr terpaksa membatalkan jelajah ke China kerana kecederaan Ronaldo.

Kali terakhir Ronaldo bertemu Messi ialah dalam aksi persahabatan antara pilihan Arab Saudi dan Paris Saint-Germain pada Januari tahun lalu.

PSG menang 5-4 dengan Ronaldo menjaringkan dua gol manakala Messi meledak satu gol.

Inter Miami ketika ini berada di Asia bagi mengharungi siri jelajah di mana semalam, kelab Amerika Syarikat itu tumbang kepada Al-Hilal 4-3.

Selepas aksi dengan Al-Nassr, Messi dan rakan sepasukannya akan terbang ke Tokyo bertemu kelab Jepun, Vissel Kobe pada Rabu depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Februari 2024 @ 12:29 PM