AKHYAR meraikan jaringannya. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
AKHYAR meraikan jaringannya. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Walaupun hanya dimasukkan ketika aksi berbaki lima minit, namun impak pemain sayap kiri Johor Darul Ta'zim (JDT), Akhyar Rashid yang dianggap wira tidak di dendang memastikan kemenangan 2-1 menewaskan Ulsan Hyundai dalam aksi Liga Juara-Juara Asia (ACL), malam tadi.

Jaringan pada minit ke-87 ketika aksi tampak berkesudahan seri 1-1 dalam saingan Kumpulan I di Stadium Sultan Ibrahim itu menceriakan lebih 20,000 penyokong bagi memastikan Harimau Selatan meraih tiga mata berharga untuk menghidupkan semula peluang memburu slot ke pusingan 16 pasukan terbaik saingan kelab-kelab elit Asia.

Menurut Akhyar yang mesra di sapa Mat Yat, dia mengakui tidak menyangka dapat menjaringkan gol yang membawa kemenangan buat skuad kendalian Esteban Solari malah berbangga dapat tewaskan penjaga gol kebangsaan Korea Selatan, Jo Hyeon-woo.

"Memang bangga sangat, apa pun, syukur alhamdulillah dapat bantu pasukan dan benda yang saya impikan. Memang tengah berdebar perasaan saya bila dapat jaringkan gol.

"Tak sangka ia rezeki saya malam ini. Terima kasih untuk jurulatih dan semua. Alhamdulillah, kami menang dan saya tak sangka dipilih pemain terbaik dalam perlawanan itu.

"Lagi pun, memang kami sasar untuk menang malam ini, sebab kami duduk (kedudukan) tak selesa sangat setakat ini," katanya pada sidang akhbar sejurus tamat perlawanan, malam tadi.

Dalam perlawanan yang berintensiti tinggi aksi sehingga minit ke-86 kedua-dua pasukan terikat 1-1 hasil jaringan pemain Ulsan Hyundai, Atarau Esaka pada minit ke-69 bagi memadam kelebihan jaringan pembukaan oleh pemain import JDT, Heberty Fernandes, pada minit ke-44.

Bagaimanpun, Akhyar yang masuk selaku pemain gantian pada aksi getir itu muncul penyelamat Harimau Selatan apabila menjaringkan gol kedua yang juga gol kemenangan pasukan pada minit ke-86.

Mengulas mengenai jaringan kemenangannya itu, Akhyar berkata, dia sebenarnya cuba membuka ruang agar rakan sepasukan, Arif Aiman Hanapi dapat menjaringkan gol tapi tidak sangka Arif Aiman akan melorongkan bola semula kepadanya.

"Mengenai gol itu, saya memang terdetik nak buat macam tu…saya pergi tengah dan lari semula ke side (tepi) dan undur semula bagi mendapatkan bola kerana niat saya untuk bagi Arif (Aiman), shooting (lakukan rembatan), tapi dia pass (hantar) semula untuk saya dan Alhamdulillah rezeki datang bergolek untuk jaringkan gol," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 November 2023 @ 10:38 AM